Malaysia masih belum bersedia laksana TPPA, kata MTEN
Wan Syamsul Amly
Oktober 7, 2015 09:32 MYT
Oktober 7, 2015 09:32 MYT
Kerajaan dilihat masih belum cukup bersedia untuk melaksanakan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) khususnya daripada aspek perundangan serta polisi.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Nizam Mahshar berkata, pada masa sama, Kerajaan masih kurang memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung kesan menyeluruh terhadap negara ini apabila perjanjian TPP mula dilaksanakan.
Beliau berkata, isi kandungan perjanjian TPP tidak boleh diubah dan hanya menantikan tempoh 90 hari sebelum persetujuan dimeterai.
"Dalam banyak hal kita tidak bersedia iaitu perundangan dan polisi juga tidak bersedia. Jurang ekonomi kita juga masih tinggi. Kalau kita lihat situasi di luar di mana jurang pekerjaan serta perbezaan tangga gaji selain pelbagai cabaran lain masih banyak instrumen negara yang belum selesai.
"Apabila kita buka ekonomi negara kepada syarikat luar, apakah implikasinya kepada ekonomi negara. Kita tidak buat kajian sebelum ia berada pada tahap ini ketika ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Selasa.
Mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria bahawa TPPA baru dimuktamadkan dan dijangka penguatkuasaannya dalam tempoh dua tahun akan datang, Nizam menegaskan teks perjanjian yang dipersetujui masih mempunyai beberapa peringkat sebelum pengesahan.
Beliau berkata, ia termasuk paparan awam, pembentangan usul di Parlimen dan analisis manfaat kos.
"Malangnya kita tidak buat kajian betulkah ada manfaat TPPA ini? Kita minta kerajaan buat kajian tiga tahun lalu sampai ke hari ini hasil kajian masih belum dikeluarkan.
"Kita tidak mahu bila dibentang semua cantik selamat. Kalau tidak diperdebatkan, implikasinya akan dirasai rakyat dan usahawan," demikian dakwaannya berhubung kesediaan Kerajaan melaksanakan perjanjian TPP.
Sementara itu, pada Isnin, Reuters melaporkan bahawa Malaysia antara 11 negara lain yang sudah bersetuju dengan rundingan perjanjian TPP yang akan menghapuskan sekatan dan memudahcarakan prosedur perdagangan di semua negara anggota.
Laporan itu menjelaskan, perkara itu dipersetujui semua Menteri-Menteri Perdagangan negara Pasifik yang menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri TPPA di Atlanta, Amerika Syarikat, bermula pada Rabu minggu lalu.
Menurut laporan itu, wakil kesemua negara, termasuk Malaysia dijangka akan mengumumkan butiran dan perincian perjanjian pada Isnin di Atlanta.
Selain Malaysia, negara anggota yang telibat dalam rundingan perjanjian TPP adalah Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.