Malaysia masih ada ruang, kemampuan kewangan jika PKP 3.0 dilaksanakan

Umavathi Ramayah
Mei 3, 2021 12:18 MYT
Mohd Afzanizam berpendapat, kerajaan mempunyai ruang untuk membiayai pakej rangsangan. - Gabar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai ruang dan kemampuan kewangan untuk terus merangsang ekonomi dan memperkasakan rakyat jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini kerana terbitan Sukuk Kelestarian dalam Dolar Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan baru-baru ini merekodkan terlebih langgan sebanyak enam kali.
"Ini sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap negara.
"Mereka (pelabur) selesa dengan tahap kewangan negara.
"Maka saya berpendapat kerajaan mempunyai ruang untuk membiayai pakej rangsangan," katanya ketika ditemuramah Astro AWANI di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, kerajaan bagaimanapun perlu meneliti skop yang perlu ditekankan supaya lebih efektif.
Dalam pada itu, katanya, unjuran Tabung Kewangan Dunia (IMF) pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini pada 6.5 peratus dalam laporan terbarunya, World Economic Outlook (WEO) mungkin akan disemak semula jika berlaku PKP 3.0.
"Melihat pada keadaan semasa, sebarang unjuran sebelum ini perlu disemak semula, kadar hayat sangat pendek kerana situasi ini berubah dan dinamik serta memerlukan unjuran yang mengambil faktor semasa," jelasnya.
#KDNK #unjuran ekonomi #PKP 3 0 #Tabung Kewangan Antarabangsa #Bank Islam #Bank Negara Malaysia
;