Malaysia mampu jadi pusat pelancongan perubatan - Tun Mahathir

Afiezy Azaman
November 2, 2018 23:58 MYT
Mahathir berucap di Majlis Makan Malam Amal IJN 2018 di Bangsar, pada Jumaat malam. - Astro AWANI/Afiezy Azaman
Malaysia mampu menjadi pusat kepada pelancongan perubatan melalui usaha yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak dalam industri perubatan di negara ini.
Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata ia mampu menjadi antara penyumbang pertumbuhan ekonomi negara pada masa akan datang.
"Seperti Institut Jantung Negara (IJN) yang merupakan contoh terbaik, sentiasa kompetitif serta berdaya saing dalam industri ini di peringkat antarabangsa dan ini dibuktikan melalui pelbagai pengiktirafan yang diterimanya pada peringkat global.
"IJN turut menyatakan komitmen terhadap inovasi dan mempunyai beberapa penyelidikan perubatan yang akan membantu pembangunan kaedah baru rawatan penyakit kardiovaskular.
"Bagi sektor perubatan, ini bukan sahaja bermakna merintis kejayaan saintifik baru, tetapi juga meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai destinasi penjagaan kesihatan yang berkualiti," katanya semasa berucap di Majlis Makan Malam Amal IJN 2018 di Bangsar, ibu negara di sini, hari ini.
Majlis tersebut diadakan bersempena dengan 25 tahun penubuhan institusi perubatan itu dan menghargai sumbangan perintis, pekerja serta badan korporat dalam perjalanan IJN menjadi pemacu industri perubatan jantung di negara ini.
Turut hadir, Isteri Perdana Menteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefli Ahmad, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah, Timbalan Menteri Kesihatan Dr. Lee Boon Chye, Pengerusi IJN Tan Sri Dr Mohd Nasir Mohd Asyraf, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Yayasan IJN Toh Puan Datuk Seri Dr Aisyah Ong.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN ketika ditemui berkata , Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata IJN telah melalui pelbagai pencapaian sepanjang penubuhannya.
"IJN telah melaksanakan 150,000 rawatan kardiologi, termasuk 37,000 pembedahan jantung, serta 20,000 pembedahan kardiotorasik pediatrik sejak penubuhannya.
"Yayasan IJN yang ditubuhkan sejak 1995 juga banyak membantu golongan yang tidak berkemampuan menjalani pembedahan jantung, membiayai kajian dan peralatan perubatan.
"Sejak 2014 hingga 2016 Yayasan IJN telah membelanjakan sebanyak RM12 juta bagi membantu pesakit yang memerlukan.
Malah, Dr. Mohd Azhari turut menyatakan IJN Sdn Bhd (hospital) telah menyumbang sebanyak RM46.5 juta kepada Yayasan IJN membantu pesakit.
#ekonomi #IJN #Mahathir Mohamad #Malaysia #pelancongan perubatan
;