Malaysia mampu capai 'Top 25' dunia Indeks Pembangunan Sosial, Rasuah - Zahid

Khalis Khadir
Oktober 21, 2024 16:30 MYT
Ahmad Zahid pada majlis pelancaran Dasar Sosial Negara 2030 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - Gambar/ Astro AWANI/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan Malaysia dapat mencapai kedudukan 25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia dan Indeks Persepsi Rasuah tidak lama lagi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia mampu dicapai menerusi pelaksanaan Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 yang turut menjadi garis panduan mencegah lambakan jenayah sejak kebelakangan ini.
"Peluncuran DSN 2030 sangat bertepatan dengan keperluan untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pembangunan sosial. Ini adalah bukti komitmen kerajaan membina sebuah negara sejahtera, inklusif dan progresif hasil usaha pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
"Kita mesti bekerja erat bagi mencapai matlamat membangunkan rakyat Malaysia yang sentiasa berpegang teguh kepada nilai murni sebagai asas kehidupan," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran DSN 2030 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Isnin.
Turut hadir antaranya ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Syukri; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Dalam masa sama beliau tidak menafikan kemerosotan nilai kesejahteraan keluarga turut menjadi penyumbang besar berlakunya krisis sosial dan ia satu cabaran terutama apabila berdepan arus globalisasi yang semakin pesat.
Ahmad Zahid menambah, walaupun kedudukan negara meningkat kepada kedudukan ke-35 dalam pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu, keberadaan di kedudukan ke-54 Indeks Kemajuan Sosial menunjukkan Malaysia belum mencapai keseimbangan untuk menjadi negara maju.
"Kita menyaksikan kemerosotan nilai kesejahteraan keluarga yang mendorong peningkatan kes perceraian, keganasan rumah tangga, penderaan dan pengabaian kanak-kanak, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
"Kisah tragis pasangan ibu bapa menganiaya anak kandung sendiri berumur lima tahun dengan memijak dan menyiram air panas meruntun hati saya seolah-olah terlalu mudah untuk hilang pertimbangan dan kewarasan akal.
"Tidak ketinggalan, buli siber semakin berleluasa hingga menyebabkan kematian seorang pempengaruh TikTok. Ini semua sebahagian masalah sosial yang masih berleluasa selain jenayah lain seperti penyalahgunaan dadah, penipuan dalam talian dan isu buli di jalan raya yang membimbangkan," ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, trend bunuh diri juga kian membimbangkan dengan peningkatan 10 peratus pada tahun lalu berbanding 2022.
"Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Talian HEAL 15555 mencatatkan bagi tempoh dua tahun perkhidmatan sehingga bulan ini, sebanyak 342 panggilan diterima mengenai tingkah laku bunuh diri yang mana 138 daripadanya adalah cubaan membunuh diri," katanya.
DSN 2030 menekankan enam nilai teras Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, ihsan, hormat dan keyakinan.
Empat teras dasar sosial ini ialah keperluan asas, potensi diri, sistem sokongan dan tanggungjawab sosial dengan menyasarkan kedudukan ke-25 teratas dunia dalam Indeks Pembangunan Manusia dan Indeks Persepsi Rasuah.
Bagi memastikan kesemua objektif tercapai, kerajaan sedang melaksanakan 44 pelan tindakan utama berkaitan sosial melibatkan 19 kementerian dan agensi dengan pemantauan Majlis Sosial Negara.
#Dasar Sosial Negara #Zahid Hamidi #Indeks Persepsi Rasuah #Kerajaan Madani
;