Malaysia mampu capai kedudukan TIMMS lebih baik pada 2020
Wan Syamsul Amly, Khairunnisa Kasnoon, Hans Yusoff
Disember 2, 2016 20:50 MYT
Disember 2, 2016 20:50 MYT
Prestasi negara dalam Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) menunjukkan peningkatan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan itu diharap mencatat peningkatan menjelang 2020.
"Pada 2011, Matematik kita dapat 440 skor, 2015 - 465 point, Sains 426 point, kita dapat 471 point ada peningkatan dalam tempoh empat tahun ini menunjukkan kita ada kualiti dalam Matematik dan Sains," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Jelasnya, penilaian TIMSS yang diadakan empat tahun sekali diharap dapat ditingkatkan pada 2020 nanti dengan mencapai 500 skor, sekaligus membawa taraf kualiti ke peringkat yang lebih tinggi.
"Untuk mencapai hasrat itu, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, pertama kualiti pendidikan guru, bakal guru di Institut Pendidikan Guru (IPG).
Kedua, pengajaran dan pembelajaran dalam kelas yang kita ubah lebih kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang membolehkan guru dan murid berad adalam keadaan moden dan tingkat kaedah pemikiran pelajar," katanya lagi.
Berdasarkan keputusan TIMSS 2011, 35 peratus dan 38 peratus murid Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik dan Sains, iaitu kenaikan dua hingga empat kali ganda berbanding tujuh dan 13 peratus pada 1999.
Keputusan tidak memberansangkan juga dicatatkan oleh pelajar Malaysia dalam keputusan pada kitaran pentaksiran untuk 2009 PISA (PISA 2009 ), penyertaan kali pertama Malaysia, yang mana kedudukan negara terletak di kelompok ketiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta, iaitu di bawah pencapaian purata antarabangsa dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).