Malaysia main peranan lebih besar dalam siasatan MH17

Tan Su Lin
November 5, 2014 17:15 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte menemui pasukan penyelamat MH17 dalam sesi khas di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. - foto Bernama
Malaysia dijangka akan memainkan peranan lebih besar dalam siasatan nahas pesawat MH17.
Antaranya menerusi pelantikan Malaysia sebagai ahli penuh dalam kumpulan penyiasat mengenai MH17 yang diketuai oleh Belanda.
Dalam sidang media bersama, kedua-dua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Rutte menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dalam penyiasatan nahas MH17 dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Kita dialu-alukan untuk memainkan peranan penting dalam siasatan kes MH17 bagi mencari punca nahas tersebut. Kita berharap dapat melihat peranan Malaysia yang lebih jelas dalam masa terdekat," kata Najib.
Rutte turut mengesahkan peranan Malaysia yang dilihat penting dalam siasatan nahas berkenaan.
"Malaysia telah kehilangan 43 rakyatnya dalam nahas berkenaan. Malah pesawat yang terhempas adalah milik Malaysia. Jadi adalah logik untuk Malaysia memainkan peranan penting dalam siasatan tersebut," kata Rutte.
Ditanya pemberita sama ada kes akan dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Rutte menyifatkan mahkamah berkenaan mungkin tidak sesuai untuk membicarakan kes pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine.
"ICC dilihat kurang sesuai untuk membicarakan kes seperti ini. Apa yang kita perlu buat adalah menyiasat kes ini melalui lembaga keselamatan bebas untuk mengetahui punca sebenar berlakunya nahas MH17. Pihak pendakwaraya awam Belanda akan mengemukakan pendakwaan dan kemudian keputusan perlu dibuat mengenai mahkamah mana kes ini akan dibicarakan," jelas Rutte lagi.
Rutte mengadakan lawatan sehari ke Malaysia bagi membincangkan perkembangan terkini nahas pesawat MH17.
Pesawat MH17 dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa bersamanya 283 penumpang dan 15 anak kapal.
Perdana Menteri Belanda itu yang menaiki pesawat Malaysia Airlines MH19 untuk lawatan berkenaan turut menyifatkan pemilihan penerbangan itu adalah kerana ia paling mudah dan cepat antara Amsterdam dan Kuala Lumpur.
#Mark Rutte #MAS #MH17 #Najib Razak #penerbangan Malaysia #Ukraine
;