Malaysia mahu tingkat perdagangan produk halal, pertanian komoditi dengan China - PM Anwar
Hasimi Muhamad
November 6, 2024 12:20 MYT
November 6, 2024 12:20 MYT
SHANGHAI: Malaysia berhasrat mempertingkatkan hubungan perdagangan terutama membabitkan produk halal, sektor pertanian komoditi serta menggalakkan pertukaran kepakaran serta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan China.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kemas kini di Facebook beliau hari ini, perkara itu antara yang disampaikan ketika mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya dari China, Premier Li Qiang pada Selasa.
“Saya turut nyatakan bahawa Malaysia berkongsi keutamaan dalam beberapa dasar yang dilaksanakan, terutama dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar, memartabatkan kehidupan rakyat dan mencapai pembangunan mampan,” kata beliau dalam hantaran tersebut.
Mengenai kerjasama Malaysia-China pula, Perdana Menteri berkata, beliau telah menyatakan sikap Malaysia yang terus terbuka dan mengalu-alukan kerjasama strategik.
Ia termasuk lebih banyak pelaburan terkait teknologi berkualiti tinggi, ekonomi digital, pendidikan serta dalam sektor-sektor berkemahiran tinggi.
“Saya ulangi pendirian Malaysia yang menerima baik prinsip perkongsian masa hadapan yang diutarakan oleh Presiden Xi Jinping sebelum ini, yang menekankan soal perkongsian kemakmuran untuk manfaat setiap individu dan negara,” ujar beliau.
Kata Anwar lagi, pertemuan tersebut telah mengeratkan hubungan peribadi antaranya dan Li, selain mengukuhkan persahabatan Malaysia-China yang diyakini akan memanfaatkan rakyat kedua-dua negara.
Sementara untuk lawatan hari ketiga di China hari ini, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dengan pelabur-pelabur berpotensi.
Ia termasuk tujuh syarikat antaranya termasuk Chengwei Capital dan NRL Capital, selain 24 kapten industri dari China.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di peringkat global selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.
Pada 2023, jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), menyumbang 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.
Setakat September lepas, jumlah dagangan yang direkodkan ialah RM355.15 bilion (AS$76.72 bilion).
Pada separuh pertama 2024, sebanyak 15 projek pembuatan telah dilaksanakan dengan pelaburan berjumlah RM1.2 bilion (AS$252.5 juta).