Malaysia mahu mahkamah antarabangsa bebas dakwa dalang nahas MH17
Shuhami Zabri
Oktober 13, 2015 23:28 MYT
Oktober 13, 2015 23:28 MYT
Malaysia, Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia sedang berusaha ke arah menerima pakai perjanjian untuk menubuhkan mahkamah antarabangsa bebas untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam nahas MH17.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataannya menegaskan, Malaysia tetap dengan pendirian untuk mengambil tindakan tegas yang akan membawa kepada pendakwaan penjenayah terbabit.
"Walaupun tribunal antarabangsa di bawah Majlis Keselamatan PBB mungkin telah di-veto tetapi perjuangan Malaysia untuk mendapatkan keadilan masih belum berakhir," katanya.
Justeru, katanya, masyarakat antarabangsa kini perlu bersatu dalam usaha untuk menjamin keadaan yang lebih selamat di masa akan datang.
"Berbekalkan laporan Lembaga Keselamatan Belanda (DSB), Malaysia bersama Pasukan Siasatan Bersama (JIT) yang mengendalikan penyiasatan jenayah kini lebih tegas untuk mendapatkan keadilan kepada semua mangsa nahas berkenaan.
Ini jelasnya, kerana laporan akhir oleh DSB jelas menunjukkan kepala peledak yang dipasang di peluru berpandu BUK meletup di luar dan di atas sebelah kiri kokpit pesawat MH17.
Di samping itu, Liow berkata, usaha melaksanakan perubahan dalam cara penerbangan komersial global beroperasi tidak boleh ditangguhkan lagi.
"Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan negara anggotanya mesti mewujudkan prosedur atau protokol global baharu yang relevan berhubung risiko penerbangan dan prosedur tersebut perlu dipatuhi negara-negara anggota dan juga syarikat penerbangan di seluruh dunia.
"Ia akan membawa banyak perbezaan antara hidup dan mati," katanya.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh DSB di Belanda hari ini, selepas letupan itu berlaku, pesawat tersebut kemudian telah dilanggar oleh sejumlah besar serpihan kecil dengan pelbagai bentuk dan saiz yang bergerak pada kelajuan tinggi.
DSB bagaimanapun telah mengecualikan beberapa punca kejadian sehingga siasatan penuh lain dibuat.