Malaysia mahu jual kapal Equanimity secepat mungkin - Tun Mahathir

Wan Syamsul Amly
Ogos 11, 2018 14:00 MYT
Kapal Equanimity yang dilaporkan bernilai RM1 bilion itu tiba pada Selasa dan dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana dari 1MDB. - Gambar fail
Kerajaan akan menjual kapal persiaran mewah Equanimity yang berlabuh sejak Selasa lepas di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang dengan secepat mungkin.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan penjualannya juga akan diklankan di seluruh dunia.
"Kita akan menjual kapal ini secepat mungkin. Kos penyelenggaraan ini sahaja mencecah RM2 juta sebulan.
"Kita mahu menjualnya segera. Kita harus belanjakan wang yang banyak untuk memastikan keadaan kapal ini terjaga.
"Ia adalah kapal yang mempunyai segalanya, besar dan lengkap. Gimnasium, sauna dan segala apa yang difikirkan perlu ada sudah ada di atas kapal ini," katanya semasa sidang media selepas membuat tinjauan di atas kapal mewah Equanimity di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.
BACA: Tun Mahathir tinjau Equanimity
BACA: Berjuta sebulan, 'umpama adakan parti setiap hari atas kapal'
Mengiringi Dr Mahathir, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.
Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Selasa lepas, kapal tersebut selamat berlabuh di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang kira-kira jam 1 petang.
Kapal itu sebelum ini ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.
Kerajaan Indonesia menyerahkan kapal berkenaan kepada kerajaan Malaysia atas permintaan Dr. Mahathir semasa kunjungannya ke negara berkenaan Jun lalu.
Dalam pada itu kata Dr Mahathir, beberapa lukisan yang dibeli oleh Jho Low di dalam kapal itu sudah dialihkan sekali gus merupakan satu kerugian kepada negara.
Sebelum ini, wakil pasukan peguam yang mewakili syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), S. Sitpah berkata, tempoh masa untuk kapal itu berlabuh di terminal ini tidak dapat dipastikan kerana ia bergantung pada siasatan.
Katanya, permohonan waran bagi penahanan kapal mewah itu dibuat oleh empat pihak, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Global Investment dan kerajaan Malaysia.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Equanimity #Indonesia #Jho Low #kapal mewah #Klang #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Malaysia #Media #Mohamad Sabu #Perdana Menteri #siasatan
;