'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' tema Hari Kebangsaan 2023

Ridauddin Daud
Mei 27, 2023 10:06 MYT
Fahmi (tiga, kanan) hadir pada Majlis Pelancaran Tema dan Logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan hari ini, 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.
Menurutnya, pemilihan tema tersebut dibangunkan menerusi kerjasama strategik dan kesepakatan pasukan panel pemikir terdiri daripada 16 orang pakar dalam pelbagai bidang.
Tema itu juga, katanya, mendasari tekad serta komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu-padu serta kehidupan yang aman dan sejahtera.
“Tema ini turut didukung dengan konsep Malaysia MADANI sebagai kunci utama bagi memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan serta kemodenan.
“Ia berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat menghormati dan ihsan.
“Seiring dengan aspirasi tersebut, logo Malaysia MADANI menjadi logo rasmi sambutan HKHM 2023,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tema dan Logo Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, di sini.
Menurut Fahmi, pemilihan logo Malaysia MADANI berteraskan kepada reka bentuk logo yang unik dan simbolik dengan ‘tangan yang sedang diangkat, untuk melafazkan ikrar Rukun Negara’.
Logo itu juga mengandungi warna asas Jalur Gemilang, selaras dengan jati diri serta semangat patriotik rakyat Malaysia yang berbilang bangsa hidup dalam keharmonian, sehati dan sejiwa.
“Saya menyeru kepada semua pihak untuk menggunakan, memaparkan dan menularkan logo dan tema HKHM.
“Ia adalah sebagai tanda cinta kita kepada negara, melalui apa jua platform, bagi membantu usaha mempromosi dan menyebarluaskan erti sambutan HKHM 2023,” ujarnya.
Sementara itu, pada sidang media selepas majlis pelancaran, Fahmi berkata, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos manakala Hari Malaysia di Kuching pada 16 September.
#Hari Kebangsaan #Malaysia Madani #Fahmi Fadzil #Hari Malaysia
;