Malaysia Madani lonjakan baharu penuhi tuntutan negara dan rakyat - Penganalisis

Bernama
Januari 20, 2023 12:27 MYT
Prof Durrishah berkata, rakyat percaya bahawa dasar yang dibawa oleh kerajaan itu akan membawa banyak kebaikan dan keadilan kepada mereka, terutama golongan yang sangat memerlukan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerangka Malaysia Madani yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dilihat sebagai lonjakan baharu Malaysia menjawab keresahan rakyat dalam menghadapi cabaran akan datang.
Pengkaji Dasar Awam Malaysia Prof Dr Durrishah Idrus berkata, Malaysia Madani yang turut memberi tumpuan kepada golongan miskin seperti kumpulan M40 yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menjadi B40 adalah tepat pada masanya kerana cabaran kini benar-benar menggusarkan mereka.
"Rakyat percaya bahawa dasar yang dibawa oleh kerajaan itu akan membawa banyak kebaikan dan keadilan kepada mereka, terutama golongan yang sangat memerlukan, ia akan mendapat sambutan dan sokongan," katanya dalam rancangan Malaysia Petang Ini di Bernama semalam.
Selain itu, Durrish berkata definisi kemiskinan juga perlu dilihat daripada pelbagai dimensi seperti yang dimaklumkan oleh perdana menteri kerana ramai pengkaji mengusulkan bahawa kadar kemiskinan itu tidak boleh dilihat daripada angka-angka sahaja.
"Hal ini kerana sekiranya definisi ini dilihat melalui angka, mungkin bagus tapi data itu tidak membawa makna kepada golongan rakyat kerana tidak dirasai oleh mereka.
"Apa yang penting adakah perkara ini (definisi kemiskinan) dapat memenuhi keperluan makanan dan kemudahan asas mereka di atas meja," katanya.
Menurut Durrish Malaysia Madani yang diharapkan oleh perdana menteri adalah membawa kepuasan optimum kepada rakyat dan akan mengharumkan nama Malaysia serta mengembalikan kepercayaan antarabangsa kepada negara ini.
Bagaimanapun beliau berkata mungkin ada beberapa pihak seperti golongan konglomerat atau perniagaan besar yang merasakan Malaysia Madani ini akan menyekat atau mengganggu mereka.
"Walaupun konsep ini memberi tumpuan yang lebih kepada rakyat yang memerlukan...namun saya tidak merasakan perkara ini akan menghalang konglomerat atau perniagaan besar," katanya.
Katanya, bagi memastikan konsep Madani terlaksana, satu pemeriksaan berkala perlu dijalankan bagi memastikan pelaksanaannya sentiasa dalam keadaan baik.
"Oleh itu, perlu dipastikan pelaksanaan itu berlaku dan disemak sama ada bagus dan memenuhi (objektif) seperti diharapkan, (semakan) bukan tiga atau lima tahun sekali, namun perlu dalam setahun atau enam bulan sekali kerana masa itu pantas sehingga banyak perkara juga berlaku dengan cepat," katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Dr Azmi Hassan berkata penggubal dasar negara perlu jelas dengan apa yang ingin dihasratkan oleh perdana menteri dalam menggagaskan Madani supaya matlamatnya sampai kepada rakyat.
"Jabatan Perangkaan misalnya boleh membuat suatu yang boleh menilai keadaan sebenar yang dialami oleh rakyat dan bukan hanya dirasai oleh negara sahaja yang diterjemahkan melalui angka atau data.
"Sama seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lepas iaitu kira-kira enam peratus berlaku pertumbuhan ekonomi tapi rakyat tidak merasai juga. Sepatutnya apabila KNDK negara meningkat bermaksud pendapatan kerajaan bertambah dan akan memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata konsep Madani ini mungkin boleh dinilai dalam masa 100 hari yang semakin hampir selepas Perdana Menteri mengambil alih pentadbiran negara berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.
"Oleh itu bagi menjayakan konsep ini, perdana menteri perlu pantas dalam memastikan menteri-menteri di bawahnya menerapkan atau menggunakan konsep ini dalam mentadbir kementerian masing-masing," katanya.
-- BERNAMA
#Malaysia Madani #Anwar Ibrahim #kerajaan #rakyat #B40 #kebajikan
;