Malaysia lulus pendaftaran bersyarat Paxlovid rawat COVID-19

Astro Awani
Mac 3, 2022 17:24 MYT
Dr Noor Hisham berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk antivirus dipantau serta dinilai secara berterusan NPRA. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) meluluskan pendaftaran bersyarat Paxlovid untuk kegunaan semasa bencana bagi rawatan COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Paxlovid digunakan untuk rawatan COVID-19 pada orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang tidak memerlukan terapi oksigen dan berisiko tinggi untuk mendapat gejala COVID-19 yang teruk.
Bagaimanapun, produk Paxlovid tidak bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti bagi vaksinasi COVID-19 dan tindakan kesihatan awam terutamanya pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Dalam satu kenyataan, Dr Noor Hisham berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk antivirus dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
Langkah itu bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk tersebut kekal positif.
Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. merupakan pemegang pendaftaran produk Paxlovid, manakala pengilang pula adalah Pfizer Manufacturing Deutschland GmbH, Jerman dan Pfizer Ireland Pharmaceuticals, Ireland.
#COVID-19 #paxlovid #malaysia lulus Paxlovid #rawatan COVID-19
;