Malaysia lima negara terbaik laksana kerangka perundangan digital - WEF

Harits Asyraf Hasnan
Disember 16, 2020 21:12 MYT
Menerusi laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) bertajuk Global Competitiveness Report Special Edition 2020: Emerging Priorities for Economic Transformation, Malaysia merekodkan skor 70 dalam kategori tersebut. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Malaysia berada di kedudukan lima terbaik dunia dalam pelaksanaan kerangka perundangan digital.
Menerusi laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) bertajuk Global Competitiveness Report Special Edition 2020: Emerging Priorities for Economic Transformation, Malaysia merekodkan skor 70 dalam kategori tersebut.
Mendahului senarai adalah Amerika Syarikat (79), Luxembourg (77.4), Singapura (76.5) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) (72.5).
Berada di tangga keenam kategori itu adalah Estonia (69.3), Sweden (67.9), Finland (67.7), Jerman (67.3) dan Belanda (65.5).
Skor tersebut diperoleh menerusi soalan kaji selidik iaitu, "Di negara anda, sepantas mana kerangka perundangan digital negara dengan mengadapatasi model perniagaan seperti (e-dagang, perkongsian ekonomi perkongsian, teknologi kewangan dan lain-lain)?"
Ia berdasarkan 83 responden dari syarikat besar serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merangkumi sektor pertanian, industri pembuatan, industri bukan pembuatan dan perkhidmatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan WEF, Saadia Zahidi berkata laporan WEF kali ini menumpukan kepada bagaimana negara-negara menampan dan menangani impak pandemik COVID-19.
"Pertama adalah negara yang melaksanakan digitalisasi mega merentas ekonomi, yang mampu menukar secara relatif dan pantas seperti berkerja di luar pejabat.
"Ia melibatkan negara yang mempunyai populasi jauh lebih baik dalam mengekalkan pekerjaan mereka.
"Perkara kedua adalah jaringan keselamatan. Negara yang telah awal menyediakannya (jaringan keselamatan), bukan sahaja dilaksana secara teratur, tetapi memastikan peruntukan diagihkan kepada bukan sahaja syarikat besar tetapi juga PKS serta isi rumah," katanya.
Malaysia merekodkan peratusan pengguna digital tertinggi di Asia Tenggara iaitu sebanyak 83 peratus daripada penduduknya (berusia 15 tahun ke atas), memetik kaji selidik dilakukan Facebook dan Bain & Company sebelum ini.
#COVID-19 #Malaysia #pandemik #keselamatan #Singapura #ekonomi #Forum Ekonomi Dunia #WEF #digital #perundangan digital
;