Malaysia layak duduki kerusi Majlis Keselamatan PBB - Wakil Palestin

Bernama
Ogos 5, 2014 10:03 MYT
Dr Anwar (tengah): Jika Malaysia berada dalam UNSC, Malaysia akan membantu kami melalui hubungan baiknya dengan negara-negara lain - Foto Bernama
Melihat kepada prinsipnya yang kukuh dan berterusan dalam membantu Palestin dan negara-negara lain yang ditindas, Malaysia layak untuk menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), kata Duta Palestin di Malaysia Dr Anwar al-Agha.
"Jika Malaysia berada dalam UNSC, Malaysia akan membantu kami melalui hubungan baiknya dengan negara-negara lain, ia juga boleh menggesa negara berkenaan membantu rakyat Palestin," katanya hari ini.
Selain bersedia menghulurkan bantuan kemanusiaan, beliau berkata terdapat dalam kalangan rakyat Malaysia menghubungi kedutaan itu untuk mengetahui jika mereka boleh membawa kanak-kanak Palestin ke Malaysia.
"Kami mengucapkan selamat berjaya kepada Malaysia untuk bergerak dari satu kekuatan kepada kekuatan yang lebih tinggi...anda mempunyai asas yang baik dan kukuh di Malaysia yang dapat membantu Palestin dan negara-negara lain," katanya merujuk mengenai kepentingan Malaysia untuk melobi kerusi anggota tidak tetap dalam UNSC untuk tempoh 2015-2016.
Malaysia pernah menganggotai kerusi Majlis Keselamatan PBB sebanyak tiga kali sebelum ini iaitu pada 1965 (berkongsi dengan Republik Czech), 1989-1990 dan 1999-2000.
Pada 3 Ogos, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata Malaysia dengan lantang menggesa negara anggota UNSC untuk bersatu dan bertindak tegas dalam menamatkan segera pencerobohan terang-terangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Dr Anwar yang baru empat bulan bertugas di Malaysia berkata keadaan di Gaza amat getir dengan senjata yang paling canggih digunakan Isreal terhadap rakyat Palestin sejak melancarkan serangan terbaharu, bermula 8 Julai lepas.
"Kami telah berada di bawah pendudukan Israel selama lebih 66 tahun, namun di sebalik semua kekejaman Israel terhadap orang awam yang telah menyebabkan sebanyak 1,850 syahid, kita masih percaya untuk meneruskan kehidupan.
"Kami berharap akan ada gencatan senjata supaya penduduk boleh bekerja dengan bebas, melihat rumah-rumah mereka malah dapat ke sekolah," katanya.
Gencatan senjata itu juga, katanya akan membolehkan bantuan kemanusiaan termasuk dari Malaysia dapat sampai ke kawasan kepungan di Gaza.
Dr Anwar yang akan mengiringi misi bantuan kemanusiaan Biro Kebajikan Umno ke Gaza yang dijadualkan pada 12 Ogos depan, berkata Presiden Palestin Mahmoud Abbas telah meminta delegasi Malaysia ke Gaza dijaga dengan baik.
"Kami berharap delegasi dapat segera pergi dan kami juga sangat berminat untuk melihat keadaan di sana, lebih-lebih lagi saya berasal dari Gaza, jadi saya tahu keadaan...sekurang-kurangnya kehadiran saya akan membantu untuk memudahkan urusan," katanya.
Rombongan seramai 65 orang terdiri daripada doktor, sukarelawan dan wartawan itu telah bersedia untuk menyertai misi dan menyampaikan 40 tan ubat-ubatan dan makanan kepada rakyat Palestin.
Menurut Dr Anwar lawatan itu "akan memberi sokongan, memberi doa, peralatan perubatan dan makanan" untuk membolehkan rakyat Palestin menjalani semula kehidupan yang bebas dan normal.
Ia juga akan membolehkan pasukan berkenaan menilai keadaan yang perlu mereka perluaskan bantuan termasuk dalam proses pembangunan semula selepas itu, katanya.
Dr Anwar berkata faktor utama pencerobohan Israel ke atas Gaza adalah kerana Palestin telah bersama-sama untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan yang bersatu.
"...Israel tidak mahu melihat ini (kerajaan perpaduan) kerana mereka menganggapnya sebagai ancaman kepada mereka...itu mentaliti Israel, mereka hanya berfikir untuk membunuh, peperangan, menyerang orang dan mereka-reka cerita," katanya. -- BERNAMA
#Dr Anwar al-Agha #Gaza #Israel #Palestin #PBB #rejim #Zionis
;