Malaysia lancar Getah Asli Mampan untuk penuhi standard kemampanan antarabangsa

Bernama
Oktober 7, 2024 17:00 MYT
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan ucapan perasmian majlis pelancaran Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) yang dibangunkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak hari ini. - BERNAMA
BALING: Lembaga Getah Malaysia (LGM) melancarkan inisiatif Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) di sini hari ini, bertujuan memastikan industri getah negara dapat memenuhi keperluan antarabangsa selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030.
Pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dengan dihadiri Timbalan Menteri Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi LGM Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah LGM Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.
Johari berkata MSNR merupakan pengiktirafan secara kawal selia dan penguatkuasaan yang diberikan kepada pemegang lesen dan permit LGM untuk memastikan getah yang dihasilkan dapat memasuki pasaran dunia sebagai produk mampan yang berdaya saing.
"Bermula 1 Julai lepas, LGM giat menjalankan pematuhan MSNR terhadap pekebun kecil getah dan pemegang lesen LGM melalui kaedah pemeriksaan bersemuka serta pengumpulan maklumat lokasi kebun dan premis," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran MSNR di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak di sini, hari ini.
Lebih 500 pekebun kecil, penggiat industri, serta wakil agensi dan kementerian hadir bagi memberi sokongan terhadap majlis pelancaran tersebut.
Johari berkata penguatkuasaan MSNR akan bermula pada 1 Jan 2025 dan pemegang lesen serta permit LGM akan dikenakan syarat iaitu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mendapatkan pengiktirafan MSNR daripada LGM.
Katanya MSNR memberi fokus kepada lima prinsip utama kemampanan iaitu tiada penyahhutanan untuk penanaman getah, penanaman getah berpandukan Kanun Tanah Negara, kemampanan alam sekitar, pematuhan sosial dan kebolehkesanan rantaian bekalan.
Sementara itu, Zairossani berkata MSNR akan membantu dalam menjejaki dan mengesan sumber bekalan, proses dan pergerakan bahan atau produk sepanjang rantaian bekalan, dari bahan mentah hingga pelupusan akhir dalam industri getah.
"Program ini juga dapat membantu pemegang lesen dan permit LGM mengenal pasti serta menangani risiko kemampanan seperti pembalakan haram dan penyalahgunaan tenaga buruh, sementara itu memastikan pematuhan terhadap piawaian kemampanan dan undang-undang," katanya.
Menurutnya lagi, pengawalan risiko tersebut juga membolehkan para pemegang lesen dan permit membuat keputusan yang lebih baik dalam usaha mengekalkan kemampanan produk secara berterusan.
"Diharapkan pelaksanaan MSNR ini dapat membantu dan mendorong semangat semua pemegang taruh dalam industri getah, khususnya pekebun-pekebun kecil yang merupakan tulang belakang negara untuk terus menjadi pengeluar getah asli terkemuka," katanya.
-- BERNAMA
#Getah Asli Mampan #MSNR #Lembaga Getah Malaysia #JOHARI ABDUL GHANI
;