Malaysia, Kuwait bincang perolehan pesawat F/A-18 Hornet
Bernama
Julai 11, 2024 06:45 MYT
Julai 11, 2024 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang berbincang dengan Kuwait bagi memperoleh pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Duta Kuwait ke Malaysia, Rashed Mohammed Rashed Al-Saleh hari ini.
"Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan hasrat negara untuk memperoleh jet-jet pejuang F/A-18 Legacy Hornet setelah KAF menerima Super Hornet baharunya.
"Pertemuan tersebut turut membincangkan soal kerjasama tentera dengan tentera, kerjasama industri pertahanan dan konflik di Gaza," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya pada Khamis.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Mohd Yani Daud.
Dalam pada itu, beliau berharap hubungan bilateral dan kerjasama pertahanan Malaysia-Kuwait dapat terus dipertingkatkan seterusnya memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
"Kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh melalui memorandum persefahaman yang akan ditandatangani kelak," katanya. - BERNAMA