Malaysia kutuk tindakan 14 negara menentang Resolusi Palestin - Mohamad

Syafik Shukri Jalil
September 27, 2024 12:00 MYT
Mohamad menyifatkan tindakan tersebut sebagai sesuatu yang tidak wajar di saat dunia sedang berusaha mencari penyelesaian. - Astro AWANI
NEW YORK: Malaysia mengutuk tindakan 14 negara yang bertindak menentang Resolusi ES-10/24 yang dibentangkan oleh Palestin pada 18 September lalu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tindakan tersebut sebagai sesuatu yang tidak wajar di saat dunia sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap konflik yang berlaku melibatkan Israel dan Palestin ketika ini.
“Bagaimana mereka boleh tergamak bertindak menentang sesuatu keputusan yang (sebelum ini juga) telah diputuskan oleh mahkamah tertinggi di dunia?
“Ini merupakan satu peristiwa yang saya sifatkan sebagai amalan sikap hipokrasi tertinggi dan pilih kasih daripada kepimpinan tertinggi.
“Kita sering berbincang mengenai pembunuhan beramai-ramai (genosid), kita bercakap tentang Holocaust, tetapi hari ini peristiwa ini masih berlaku dan peristiwa ini berlaku pada tahun 2024, (semestinya) ia sesuatu yang amat malang dan amat kita kesali,” katanya.
Mohamad berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam bersama Diaspora dan Pelajar-Pelajar Malaysia Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini, pada Khamis.
Hadir sama ialah Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ahmad Faisal Mohamad dan Konsul General Malaysia di New York, Amir Farid Abu Hasan.
Selain itu, majlis tersebut turut disertai sekurang-kurangnya 150 rakyat Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata cadangan penyelesaian dua negara yang sebelum dicadangkan berulang kali bagi mengakhiri konflik berdekad lamanya di wilayah Palestin juga sepatutnya dipersoalkan kerana Palestin merupakan sebuah negara yang sudah lama ditubuhkan.
Bagaimanapun, ia perkara ini perlu diselesaikan kerana dunia tidak berupaya untuk terus membincangkan konflik ini kerana ia sudah berlaku selama tujuh dekad lamanya.
“Tidak wujud istilah penyelesaian dua negara kerana satu negara tersebut (Palestin) telah ditubuhkan jauh lebih lama dahulu.
“Apa yang perlu kita lakukan adalah mengiktiraf negara tersebut (Palestin) seterusnya memberikan hak kepada rakyat Palestin untuk mereka menetapkan ketentuan mereka sendiri untuk memiliki sebuah negara.
“Tapi kita nak melihat supaya perkara (konflik) ini dapat diselesaikan kerana kita tidak boleh “tersangkut kaki” sentiasa bercakap pasal Gaza kerana kita sudah membincangkan isu ini selama tujuh dekad. Jadi elok perkara diselesaikan,” ujarnya lagi.
Pada 18 September lalu, resolusi yang dipelopori oleh Palestin itu diluluskan dengan sokongan majoriti besar, dengan 124 negara anggota mengundi menyokong, 14 menentang dan 43 berkecuali.
14 negara yang menentang termasuk Amerika Syarikat, Israel, Tuvalu, Nauru dan Hungary.
#Mohamad Hasan #UNGA #PBB #Resolusi ES-10 24
;