Malaysia kutuk serangan udara Israel yang korbankan pekerja bantuan WCK

Bernama
April 3, 2024 22:04 MYT
Malaysia mengambil maklum dan turut berdukacita apabila WCK menangguhkan operasinya disebabkan oleh insiden tragis itu. - Reuters
PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk serangan udara oleh Israel yang menyebabkan kematian tujuh pekerja bantuan dari badan amal World Central Kitchen (WCK) di Gaza.
"Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, serta pemimpin Kerajaan Negara-negara yang berduka atas kehilangan warganegaranya dalam serangan yang tidak berperikemanusiaan ini," kata Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Rabu.
Malaysia mengambil maklum dan turut berdukacita apabila WCK menangguhkan operasinya disebabkan oleh insiden tragis itu.
"Penangguhan operasi WCK akan menghalang usaha bantuan segera, menambahkan lagi kesengsaraan rakyat Palestin yang sedang bergelut dengan kebuluran dan penyebaran penyakit," menurut Wisma Putra.
Mangsa yang terkorban termasuk tiga warga Britain, seorang warga Poland, seorang warga Australia, seorang Palestin dan seorang yang memegang dwi-kewarganegaraan Amerika Syarikat-Kanada.
Wisma Putra berkata ia juga amat bimbang dengan serangan yang disengajakan ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini, serta serangan ke atas WCK.
Menurut Wisma Putra, rejim Israel harus mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2728 untuk memastikan perlindungan dan bantuan sampai kepada rakyat Palestin, dan konflik di Gaza mesti berakhir.
Tambahnya, rakyat Palestin berhak mendapat sokongan teguh dan bantuan dari komuniti antarabangsa, dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk berusaha secara kolektif mencari penyelesaian yang damai dan mampan terhadap krisis berterusan di Gaza.
"Malaysia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dalam mendapatkan kembali hak-hak mereka untuk berdiri sendiri.
"Malaysia berpegang teguh kepada penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai ahli anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata Wisma Putra.
-- BERNAMA
#serangan Israel #badan amal #pekerja kemanusiaan terbunuh #World Central Kitchen #Gaza #Palestin
;