Malaysia kutuk serangan kejam Israel ke atas sukarelawan Ops Ihsan di Rafah
Astro Awani
April 13, 2024 00:47 MYT
April 13, 2024 00:47 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dengan tegas mengutuk serangan kejam yang dilakukan oleh Tentera Rejim Israel (IOF) terhadap konvoi bantuan kemanusiaan di Rafah pada Jumaat.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam kenyataan media pada Sabtu berkata, tindakan kejam terhadap petugas bantuan kemanusiaan, sukarelawan, dan individu tidak bersenjata itu mencerminkan kekejaman yang melampaui sebarang pemahaman atau justifikasi, dan sama sekali tidak boleh diterima.
"Ia tidak lagi mencukupi untuk mengutuk tindakan kezaliman ini secara berlapik. Sudah tiba masanya bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu dan menuntut agar Israel menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan ini dan bertanggungjawab ke atas jenayah mereka.
"Di mana Israel sebelum ini menuntut bahawa tindakan ini adalah langkah-langkah yang diperlukan untuk pertahanan diri, tindakan-tindakannya sejak Oktober tahun lalu jelas menunjukkan sebaliknya: Israel sangat jelas adalah pihak yang menyerang dan mengganas," kata kenyataan tersebut.
Menurut kementerian tersebut, ini adalah kali kedua operasi Ops Ihsan terganggu, dan nyawa sukarelawan mereka dibahayakan tanpa sebab, di mana serangan pertama berlaku pada 14 Mac 2024 yang mengambil nyawa lapan orang Palestin dan mencederakan lebih daripada dua puluh lainnya.
"Di saat bantuan sangat diperlukan untuk sampai kepada rakyat Palestin, rejim Israel secara berterusan mengenakan sekatan dan halangan untuk menyeksa golongan tua, rakyat yang kesakitan, wanita dan kanak-kanak," kata kementerian itu lagi.