Malaysia kutuk serangan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa

Afiezy Azaman
September 20, 2023 11:40 MYT
Arab Saudi, UAE dan Mesir turut telah mengeluarkan kenyataan mengutuk serbuan di Masjid Al-Aqsa itu. - Foto fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serbuan dan serangan terhadap Masjid Al-Aqsa oleh pelampau Israel, pada Ahad lalu.
Menurut Wisma Putra, serangan itu adalah tindakan provokasi yang disengajakan dan pencabulan terang-terangan terhadap kesucian masjid bertujuan untuk mencabar sejarah dan undang-undang status Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.
"Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menunaikan tanggungjawab yang dimandatkan untuk memastikan rejim Israel bertanggungjawab ke atas tindakan pencerobohan yang berterusan terhadap kemanusiaan dan secara terang-terangan mengabaikan prinsip undang-undang antarabangsa yang tidak terkira banyaknya.
"Segala tindakan provokasi dan keganasan mesti dihentikan segera demi kepentingan keamanan dan keselamatan. Seharusnya tiada layanan yang tidak seimbang dalam menangani konflik," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Ahad lalu, ratusan peneroka pelampau Israel melancarkan serbuan di halaman Baitulmaqdis.
Arab Saudi, UAE dan Mesir turut telah mengeluarkan kenyataan mengutuk serbuan di Masjid Al-Aqsa itu.
Sementara itu, Wisma Putra turut menyeru masyarakat antarabangsa supaya berhenti menutup mata terhadap rejim yang jelas mengamalkan dasar Aparteid.
"Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus mengabaikan serangan berterusan Israel dan dasar apartheid terhadap hak asasi, kehidupan, mata pencarian dan maruah rakyat Palestin di tanah mereka sendiri.
"Malaysia terus berpegang teguh dengan pendirian berprinsip kami bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya," tegas kenyataan itu.
#Masjid Al-Aqsa #Wisma Putra #UNSC #serangan
;