Malaysia kutuk serangan di Kunming - Anifah

Bernama
Mac 3, 2014 07:27 MYT
Malaysia mengutuk serangan kejam dan tidak berhati perut oleh kumpulan penyerang bersenjatakan pisau di stesen kereta api di Kunming, ibu negeri provinsi Yunnan di selatan China pada Sabtu lepas.
Insiden berdarah itu mengakibatkan 29 orang awam terbunuh dan 103 orang cedera.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan di sini Isnin berkata kerajaan Malaysia mengucapkan takziah dan rasa simpati kepada kerajaan China, sanak saudara dan anggota keluarga mangsa serangan itu.
"Kerajaan Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan Republik Rakyat China dan masyarakat antarabangsa dalam membanteras tindakan keganasan dan membahayakan nyawa orang tidak bersalah di rantau ini dan seluruh dunia," katanya.
Dalam insiden Sabtu lepas, 10 lelaki bersenjatakan pisau panjang menyerbu masuk ke stesen kereta api di barat daya bandaraya Kunming dan menyerang orang awam, menurut laporan agensi berita kerajaan Xinhua.
#Anifah Aman #berpisau #China #Kunming #kutuk #Malaysia #serangan #Yunnan
;