Malaysia kutuk pengeboman keterlaluan kawasan awam oleh rejim Israel - Wisma Putra

Astro Awani
Oktober 11, 2023 05:52 MYT
Malaysia juga sangat kesal dengan peningkatan jumlah korban dan kecederaan orang awam serta kemusnahan ekoran pertempuran yang telah berlarutan sejak 7 Oktober lalu. - Foto/AP
KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel mengebom secara keterlaluan dan sewenang-wenangnya di kawasan-kawasan awam, di samping tindakan rejim menyekat bekalan asas air, elektrik serta makanan kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia juga sangat kesal dengan peningkatan jumlah korban dan kecederaan orang awam serta kemusnahan ekoran pertempuran yang telah berlarutan sejak 7 Oktober lalu.
"Kementerian Luar Negeri menjunjung kasih titah Tuanku Agong dan menyambut baik ketetapan sebulat suara Dewan Rakyat pada 9 Oktober termasuk gesaan supaya Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masyarakat antarabangsa memberi tekanan bagi menghentikan segala pertempuran untuk mengelakkan pertumpahan darah.
"Malaysia turut kesal dengan kegagalan UNSC mencapai persetujuan dalam perkara ini," katanya dalam kenyataan itu.
Mengambil kira situasi kritikal pada masa ini, Kementerian Luar menambah, masyarakat antarabangsa termasuk pertubuhan-pertubuhan antarabangsa perlu menyalurkan segera bantuan kemanusiaan seperti bekalan-bekalan asas dan perubatan.
[LAPOR LANGSUNG] Perang Palestin-Israel: Hampir 150,000 penduduk di Gaza terpaksa berpindah
Tegas kementerian itu, rejim Israel tidak berhak untuk menyekat saluran bantuan kemanusiaan.
Sebagai langkah awal, Kementerian Luar katanya dalam proses menyalurkan RM1 juta bagi sumbangan kemanusiaan awal dengan segera melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Dalam masa yang sama, kementerian itu menasihatkan supaya pihak yang ingin membuat perjalanan ke kawasan berkenaan menangguhkan perancangan mereka memandangkan keadaan keselamatan yang masih meruncing pada masa ini.
"Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masih berhasrat untuk ke kawasan berkenaan dinasihatkan untuk merujuk perancangan mereka kepada Kementerian ini terlebih dahulu," katanya.
Setakat ini, Kementerian Luar memaklumkan terdapat lima rakyat Malaysia iaitu seorang wanita dewasa dan seorang ibu bersama tiga anak di Tebing Barat, dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman sentiasa berhubung dengan mereka.
Kementerian Luar Negeri menasihatkan mana- mana pihak atau warganegara Malaysia yang mempunyai maklumat keberadaan saudara mara atau kenalan yang masih berada di kawasan konflik boleh berhubung dengan Kementerian bagi membolehkan bantuan dihulur sekiranya perlu di butiran berikut:
Kementerian Luar Negeri Wisma Putra Bahagian Asia Barat
No Telefon:
010 2884116 (Faizal)
011 14901787 (Hakim)
Pegawai Bertugas (selepas waktu pejabat)
No Telefon: 03-8887 4570
Email: dutyofficer@kln.gov.my
Kedutaan Besar Malaysia Amman, Jordan
No Telefon:
+962 65902400
+962 785902400
(Selepas 3.30 petang waktu tempatan)
Email : mwamman@kln.gov.my
#Isu Palestin - Israel #serangan Israel #Angka korban serangan Israel