Malaysia kutuk pencerobohan terbaharu di Masjid Al-Aqsa

Bernama
Mei 20, 2023 17:13 MYT
Pencerobohan yang dirancang ke tapak suci umat Islam dan perarakan bendera di Kota Lama Baitulmaqdis memburukkan lagi keadaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk pencerobohan terbaharu ke atas Masjid Al-Aqsa oleh Israel pada 18 Mei.
Menurut Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra), dalam satu kenyataan, pencerobohan yang dirancang ke tapak suci umat Islam dan perarakan bendera di Kota Lama Baitulmaqdis memburukkan lagi keadaan.
"Tindakan sedemikian merupakan provokasi jelas dan pencabulan terang-terangan terhadap kesucian tapak suci yang dihormati.
"Masyarakat antarabangsa tidak sepatutnya hanya menutup mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia dan dasar apartheid yang berterusan oleh rejim Israel di wilayah Palestin yang diduduki," menurut kenyataan itu.
Malaysia terus berpegang teguh dengan pendiriannya yang berprinsip bahawa rakyat Palestin berhak ke atas negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
-- BERNAMA
#Masjid Al-Aqsa #pencerobohan #Israel #kementerian luar malaysia
;