Malaysia mengutuk keras tindakan militan negara Islam di Syria dan Iraq dan amat sedih dengan jenayah yang dilakukan atas nama Islam, yang merupakan agama keamanan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia kesal terhadap mereka yang bertanggungjawab dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak secara bersama untuk menghalang keganasan selanjutnya.

"Kita mesti memerangi ekstremisme dengan kesederhanaan dan berusaha untuk membina semula ikatan antara masyarakat yang hancur akibat perang.

"Masyarakat Islam di seluruh dunia menyaksikan dengan penuh ketakutan ketika konflik baharu melanda Syria and Iraq. Ketika laporan mengenai pembunuhan beramai-ramai orang awam timbul dan bukti grafik mengenai kekejaman muncul, kami terkejut," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Najib berkata, apabila negara-negara gagal atau berpecah akibat peperangan, puak pelampau melihat peluang ini dan mereka mengambil kesempatan daripada perbalahan antara rakyat dengan bertopengkan agama untuk melakukan kekejaman.

Puak pelampau, bagaimanapun tidak mewakili orang Islam, kata Najib dan menambah tindakan puak militan Negara Islam adalah bertentangan dengan ajaran Islam, budaya dan kemanusiaan.

"Tindakan mereka bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw, tokoh keamanan dan kesederhanaan: dan bercanggah dengan undang-undang Islam, yang menjamin perlindungan bagi kehidupan untuk semua," kata beliau.

Najib berkata, di seluruh dunia, majoriti umat Islam berusaha untuk hidup bebas daripada keganasan.
"Kami tidak mengiktiraf visi kepercayaan kami dipaksa ke atas orang awam yang tidak berdosa - sama ada ia golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Syiah atau Kristian - melalui muncung senjata," kata beliau.