Malaysia kutuk keras serangan udara Israel di Gaza

Nickyson Nyambar
Mei 11, 2023 13:00 MYT
Kementerian Luar dalam kenyataan pada Khamis menyifatkan keganasan yang ditunjukkan itu sebagai biadab dan mencabul hak asasi manusia serta undang-undang kemanusiaan di peringkat antarabangsa. - AP
KUALA LUMPUR : Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilancarkan rejim Israel sehingga mengenai bangunan kediaman serta kawasan lain di Gaza pada 9 Mei lalu
Tindakan itu sehingga kini telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin terbunuh, manakala 70 yang lain cedera.
Kementerian Luar dalam kenyataan pada Khamis menyifatkan keganasan yang ditunjukkan itu sebagai biadab dan mencabul hak asasi manusia serta undang-undang kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
"Komuniti antarabangsa perlu bertindak bersama untuk mengakhiri penindasan yang berlarutan terhadap rakyat Palestin.
"Malaysia meminta komuniti antarabangsa untuk mengecam rejim Israel dengan tegas kerana terus-menerus melakukan penindasan yang kejam dan kejahatan keji aparteid terhadap rakyat Palestin," menurut kenyataan itu.
Susulan itu, Kementeri Luar menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menuntut kebertanggungjawaban Israel atas semua pelanggarannya dan kekejaman yang dilakukan.
Malaysia kekal berpegang teguh pada prinsip bahawa rakyat Palestin berhak memiliki negara merdeka dan berdaulat.
#serangan udara #tentera Israel #Malaysia kutuk #Palestin