Malaysia kutuk keras serangan pengganas di Aden
Astro Awani
Disember 31, 2020 19:05 MYT
Disember 31, 2020 19:05 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk keras serangan pengganas ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Aden di Yaman pada Rabu.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra menegaskan, Malaysia menolak semua bentuk keganasan yang menjejaskan kestabilan, keamanan dan keselamatan serantau.
"Malaysia percaya usaha positif yang dilakukan kerajaan Arab Saudi menerusi Perjanjian Riyadh akan membawa keamanan dan kestabilan di Yaman," kata Wisma Putra.
Malaysia juga menegaskan bahawa kemajuan ke arah keamanan di Yaman harus disokong penuh dan dikekalkan.
Kenyataan itu berkata, Malaysia juga mengulangi sokongan ke arah penyelesaian konflik Yaman secara terangkum dan aman yang hanya boleh dicapai menerusi dialog dan perundingan.
Sekurang-kurangnya 26 maut apabila sebuah letupan menggegarkan Lapangan Terbang Aden pada Rabu, sejurus selepas anggota kerajaan baharu Yaman mendarat.
Insiden disifatkan sebagai satu serangan pengecut oleh kumpulan pemberontak.