Malaysia kurang bersedia hadapi perubahan pentadbiran AS secara proaktif - Penganalisis

Nina Rozman
November 6, 2024 12:06 MYT
Langkah konkrit dan peningkatan kecekapan diperlukan agar Malaysia mampu memainkan peranan yang lebih signifikan dalam arena antarabangsa, kata penganalisis.
KUALA LUMPUR: Malaysia dilihat masih belum cukup bersedia untuk menangani perubahan dasar dan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) secara proaktif.
Menurut Penganalisis Politik, Ekonomi dan Hubungan Antarabangsa, Herizal Hazri, Malaysia perlu memperkukuhkan strategi antarabangsanya bagi menangani potensi perubahan dalam hubungan diplomatik.
Herizal menegaskan, walaupun Malaysia sering menyertai forum antarabangsa seperti ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penyertaannya lebih pasif berbanding sebagai pemimpin aktif dalam memperjuangkan isu global.
"Ini menimbulkan persoalan sama ada Malaysia hanya hadir sebagai penyokong atau benar-benar berperanan sebagai penggerak utama dalam isu antarabangsa," kata beliau.
Dalam siaran khas Niaga AWANI sempena Pilihan Raya Presiden AS, Herizal mengulas sikap Malaysia dalam menangani krisis antarabangsa sering kali kelihatan kurang praktikal dan proaktif.
"Malaysia cenderung mengutamakan retorik berbanding tindakan nyata di peringkat antarabangsa
"Retorik kita mungkin kelihatan kuat, tetapi sering kali melebihi kemampuan untuk merealisasikan solusi atau tindakan yang berkesan" kata Herizal.
Tambahnya lagi, Malaysia ketinggalan dari segi perancangan strategik berbanding negara-negara lain yang lebih fleksibel dan responsif terhadap perubahan mendadak di peringkat antarabangsa.
Justeru, beliau menegaskan, langkah konkrit dan peningkatan kecekapan diperlukan agar Malaysia mampu memainkan peranan yang lebih signifikan dalam arena antarabangsa, sekali gus membuktikan kesiapsiagaannya untuk mengatasi cabaran masa hadapan.
Walaupun pelbagai peristiwa mengejutkan berlaku beberapa bulan terakhir, pengundi kekal berpecah sama rata di peringkat nasional dan di tujuh negeri utama yang berpotensi menentukan keputusan pilihan raya ini.
AS Memilih: Kesan pilihan raya Presiden AS kepada dunia
#AS #pilihan raya #Malaysia #Amerika Syarikat
;