Malaysia-Korea Utara tidak berperang - Hishammuddin

Harits Asyraf Hasnan
Mac 13, 2017 13:07 MYT
HISHAMMUDDIN: Jangan bincangkan isu Korea Utara sehingga menjejaskan rundingan di peringkat tertinggi. - Gambar fail
Walaupun hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Pyongyang agak tegang, namun ia bukan menjadi sebab mengapa Malaysia dan Korea Utara akan berperang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perbincangan di peringkat tertinggi kedua-dua negara masih lagi berlangsung.
"Kita jangan bincangkan isu Korea Utara sehingga menjejaskan rundingan di peringkat tertinggi Malaysia dengan Korea Utara kerana saya percaya rundingan itu berterusan.
"Setakat ini kalau hendak tanya adakah ia sampai ke tahap perang, (saya katakan) tidak, walaupun keadaan dan suasana hubungan agak tegang, namun kita tidak akan sampai hendak berperang," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Namun, katanya, hubungan baik Malaysia dengan negara luar membolehkan Malaysia berdepan dengan sebarang situasi yang lebih kritikal.
"Sekiranya kita terpaksa berdepan dengan situasi tersebut, jangan ingat kita hanya bergantung kepada aset sendiri kerana kita mempunyai sekutu yang rapat, hubungan bilateral dengan banyak negara.
"Sebagai contoh usaha mencari (pesawat) MH370, kita tidak ada aset pun untuk mencari kapal terbang yang hilang itu, tetapi 26 negara tampil untuk bantu dengan peralatan yang lebih canggih.
"Ini menjadi kelebihan kepada kita, jangan bimbang dari segi aset negara kita dan tidak perlu bimbang kerana tidak mungkin kita boleh menyaingi korea utara," katanya.
#Hishammuddin Hussein #Korea Utara #Parlimen #perang #sekutu
;