Malaysia, Korea Selatan sambung semula perjanjian perdagangan bebas - MITI

Bernama
Mac 26, 2024 22:59 MYT
Tengku Zafrul berkata perdagangan dua hala Malaysia-Korea Selatan berada dalam aliran meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Korea Selatan menyambung semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea (MKFTA) yang dijangka dapat meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata kedua-dua negara itu juga adalah pihak yang menyertai dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-Korea dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.
Menurut MITI, pertumbuhan perdagangan dua hala dan permintaan industri antara kedua-dua negara mencatatkan prestasi menggalakkan dan MKFTA itu dijangka merangkumi ekonomi digital, ekonomi hijau, rantaian bekalan dan bio-ekonomi.
Pada majlis itu, Malaysia diwakili Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz manakala Korea Selatan oleh Menteri Perdagangannya Cheong Inkyo.
Tengku Zafrul berkata perdagangan dua hala Malaysia-Korea Selatan berada dalam aliran meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Sebagai rakan dagang kelapan terbesar Malaysia, dan rakan usaha sama utama kepada Dasar Pandang Ke Timur Malaysia, penyambungan semula perjanjian perdagangan bebas antara Malaysia dan Korea Selatan itu tepat pada masanya dan satu langkah strategik.
Pada 2023, nilai perdagangan dengan Korea Selatan berjumlah RM111.1 bilion (AS$24.3 bilion).
Malaysia disenaraikan sebagai rakan dagang ketiga terbesar Korea Selatan di Asean, dan ke-12 terbesar di dunia, dengan nilai perdagangan berjumlah RM118.4 bilion (AS$25 bilion) dalam tempoh yang sama.
Korea Selatan menjadi salah satu sumber utama pelaburan langsung asing Malaysia bagi sektor pembuatan.
Sehingga Disember 2023, sebanyak 390 projek bernilai AS$10.7 bilion (RM40 bilion) telah dilaksanakan, menjana 48,374 peluang pekerjaan.
Kebanyakan pelaburan ini adalah dalam kimia dan produk kimia, produk logam asas, elektrik dan elektronik, produk petroleum dan produk pembuatan makanan. Dianggarkan kira-kira 500 syarikat Korea Selatan beroperasi di Malaysia.
Berdasarkan data suku ketiga 2023 Pelaburan Malaysia di Korea Selatan berjumlah AS$10.2 juta (RM48.2 juta) dengan pelaburan dalam pembuatan (elektronik, keluli, petrokimia), pembinaan, perkhidmatan teknologi maklumat (IT), pemborong dan runcit dan logistik.
-- BERNAMA
#pelaburan #Malaysia #Korea Selatan #MKFTA
;