Malaysia, Korea Selatan meterai MoU perkukuh kerjasama industri pertahanan
Bernama
April 27, 2022 04:00 MYT
April 27, 2022 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Malaysia dengan Korea Selatan akan menjadi instrumen perundangan dalam mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata MoU yang ditandatangani bersama Menteri Pertahanan Nasional Korea Selatan Suh Wook itu akan menjadi dokumen rujukan utama dalam interaksi, program serta aktiviti bersama Angkatan Tentera Malaysia dengan Angkatan Tentera Republik Korea.
"Mesyuarat dua hala ini amat bermakna dan membawa manfaat penting kepada kedua-dua negara khususnya dalam konteks diplomasi pertahanan.
"Usaha ke arah MoU ini dilaksanakan sejak tiga tahun lepas dan akhirnya ia dapat ditandatangani pada Rabu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat dua hala secara maya dengan Suh Wook dan menandatangani MoU antara Malaysia dengan Korea Selatan secara hibrid di Wisma Pertahanan pada Rabu.
Hishammuddin berkata bagi memastikan perancangan di bawah MoU ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berjalan lancar, satu Jawatankuasa Kerja antara Kementerian Pertahanan kedua-dua negara akan diwujudkan.
Beliau berkata selain itu, kedua-dua negara sedang berusaha ke arah MoU berkaitan industri pertahanan yang turut berkait rapat dengan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang sedang dirangka oleh Kementerian Pertahanan.
Katanya sebelum ini, Malaysia menjalin kerjasama dengan beberapa negara seperti Itali, Perancis serta Amerika Syarikat dan kini berusaha memperluas usaha sama dengan lebih banyak negara seperti Turki, India selain Korea Selatan.
Mengenai mesyuarat bersama Suh Wook, Hishammuddin berkata beliau mengambil peluang untuk berbincang mengenai kerjasama pelbagai hala khususnya Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ancaman keselamatan dalam domain keselamatan siber.
"Saya turut suarakan keyakinan bahawa dengan sokongan Republik Korea (Selatan), inisiatif Kementerian Pertahanan mengenai Rangkaian Pertahanan Siber ASEAN berupaya dilaksanakan secara lebih efektif," katanya.
Hishammuddin turut menasihati orang ramai supaya tidak mengambil mudah dan mensia-siakan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik yang diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Rabu.
"Dalam proses transisi ke fasa endemik, apa yang kita (kerajaan) buat secara berperingkat adalah tepat dan berharap pengumuman oleh Khairy diterima baik," katanya.
Khairy mengumumkan beberapa kelonggaran termasuk pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan sebaliknya ia pilihan individu tetapi wajib dipakai apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing, berkuat kuasa 1 Mei.
-- BERNAMA