Malaysia kongsi kemajuan DRR pada APMCDRR di Manila - Ahmad Zahid
Bernama
Oktober 15, 2024 22:26 MYT
Oktober 15, 2024 22:26 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia telah berkongsi kemajuan dalam Pengurangan Risiko Bencana (DRR) dengan mengetengahkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 pada Persidangan Menteri-Menteri Asia Pasifik mengenai Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) di Manila, Filipina.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata dasar itu menandakan perubahan penting dalam strategi pengurusan bencana Malaysia dengan mengutamakan pengurangan risiko.
"Ia memberikan mandat yang jelas untuk mengintegrasikan DRR ke dalam perancangan pembangunan dan mengguna pakai pendekatan dari bawah ke atas, memperkasakan kerajaan tempatan, pemimpin komuniti, NGO (badan bukan kerajaan) dan sektor swasta untuk memainkan peranan aktif dalam mengurangkan risiko di peringkat tempatan.
"APMCDRR telah menyediakan peluang yang bernilai untuk Malaysia menggabungkan amalan terbaik global, mengguna pakai strategi berkesan dari seluruh rantau Asia Pasifik untuk terus memperkukuh kerangka pengurusan bencana sedia ada," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, turut menekankan komitmen Malaysia untuk memanfaatkan sepenuhnya teknologi terkini dalam kesiapsiagaan mendepani bencana.
"Sistem Ramalan Cuaca Berangka (NWP) kami membolehkan amaran dikeluarkan seminggu lebih awal bagi membolehkan persediaan lebih tersusun dilakukan di bandar-bandar utama.
"Ini melengkapi Program Ramalan dan Amaran Banjir Kebangsaan yang menyediakan ramalan tepat bagi kemungkinan berlaku banjir merentasi 89 lembangan sungai utama," katanya.
Beliau berkata strategi menyeluruh ini telah berjaya mengurangkan kerugian kewangan akibat Monsun Timur Laut daripada US$220 juta pada 2022 kepada US$ 60 juta pada 2023 sekali gus membuktikan keberkesanan inisiatif DRR negara dalam melindungi nyawa dan sumber.
"Usaha Malaysia dalam pengurusan risiko bencana kekal utuh dan persidangan hari ini terus mengukuhkan lagi komitmen kolektif kita untuk meningkatkan daya tahan di seluruh rantau ini.
"Menerusi kerjasama dan perkongsian amalan terbaik, kita boleh membina komuniti yang lebih berdaya tahan, lebih siap siaga dalam mendepani cabaran yang mendatang," katanya.
Ahmad Zahid juga berkata beliau berkesempatan melakukan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Filipina Sara Duterte.
"Semasa perbincangan, kami meneroka pelbagai peluang kerjasama antara kedua-dua negara termasuk memperluas industri halal, memperkukuh kerjasama dalam bidang TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan meneroka peluang perdagangan baharu," katanya.
-- BERNAMA