Malaysia komited untuk terus mencari pesawat MH370 - PM
Astro Awani
Mac 8, 2015 11:47 MYT
Mac 8, 2015 11:47 MYT
Malaysia terus komited dalam carian penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang tepat setahun yang lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Malaysia terus komited untuk mencari dan berharap MH370 akan ditemui," kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.
Najib turut melahirkan rasa simpati atas kejadian itu sambil menambah bahawa ini telah menjadi insiden yang paling kompleks dalam sejarah penerbangan.
"Hari ini, kita bersatu dalam mengingati dan menghormati 239 orang, termasuk 50 rakyat Malaysia di dalam pesawat MH370. Doa kami bersama mereka dan orang tersayang.
"Kehilangan MH370 dan misi pencarian – adalah insiden yang paling kompleks dan mencabar dari segi teknikal dalam sejarah penerbangan," kata Najib.
Selain itu, beliau turut melahirkan terima kasih kepada pasukan antarabangsa yang terlibat dalam misi mencari pesawat.
"Malaysia telah mengumpul satu pasukan antarabangsa yang besar untuk mencari pesawat, dan kami tidak akan lupa dedikasi mereka yang membantu. Kepada lelaki dan wanita yang terus bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk mencari lokasi terakhir MH370 itu - Terima kasih, " kata Najib.
Hari ini, satu dunia memperingati tepat setahun kehilangan pesawat MH370.
Boeing 777-200ER membawa 239 penumpang, kebanyakannya daripada China, dan anak kapal, dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6:30 pagi. Ia dipercayai telah berakhir di Lautan Hindi.
Jabatan Penerbangan Awam pada 29 Jan mengumumkan penerbangan MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal telah dianggap telah kehilangan nyawa mereka.