Malaysia komited bantu isu halal, martabat Islam di Brazil - PM
Harits Asyraf Hasnan
November 17, 2024 22:27 MYT
November 17, 2024 22:27 MYT
RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja di Brazil dengan mengadakan pertemuan dengan komuniti Islam di sini.
Dalam pertemuan hampir 30 minit itu, mereka sempat berbincang dan bertukar pandangan berkenaan pembangunan ummah di negara itu.
“Saya juga nyatakan komitmen Malaysia dalam membantu terkait urusan halal selain usaha memartabatkan Islam menerusi pendidikan dan dakwah kepada komuniti Islam di Brazil,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini.
Selain itu, Malaysia juga katanya akan menggerakkan usaha membantu aktiviti masjid tunggal di Rio de Janeiro iaitu Masjid Luz.
Pada masa sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di sini selain menyerahkan senaskah Al-Quran cetakan khas manakala 10 naskah lagi adalah terjemahan dalam bahasa Portugis.
Wakil komuniti Islam yang terlibat dalam pertemuan itu adalah Jawatankuasa Masjid Luz yang terdiri daripada Presidennya, Mohamed Zeinhom Mohamed El Fateh Mohamed Abdien; Imam Sancho Jorge Mulungo @ Adam; Timbalan Pengarah Jabatan Sosial Julia Leal Menezes dan Pengarah Kewangan Abdullah Al Masri.