Malaysia khususnya Perlis perlu rebut peluang projek EEC di Thailand

Bernama
September 21, 2022 11:15 MYT
Titah baginda, sebagai negeri jiran, Perlis dan UniMAP wajar mencari peluang bagi menjalinkan pelbagai kerjasama dengan Thailand dalam meningkatkan hab logistik. - Gambar fail
KANGAR: Malaysia, khususnya negeri Perlis perlu merebut peluang yang ada bagi mendapat manfaat daripada pembangunan projek mega Eastern Economic Corridor (EEC) atau Koridor Ekonomi Timur di negara jiran, Thailand.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah EEC adalah projek fasa ketiga pelabuhan laut dalam Laem Chabang dan sambungan lebuh raya menghubungkan lapangan terbang U-tapoa di Rayong.
"Thailand difahamkan akan turut memberi tumpuan kepada perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Thailand dengan Laos dan China serta terus ke beberapa buah negara di Eropah," titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini.
Baginda bertitah demikian ketika singgah di Bangkok sebelum berangkat pulang ke tanah air selepas berkenan mengetuai delegasi Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP ke Laos baru-baru ini.
Titah baginda sebagai negeri jiran, Perlis dan UniMAP wajar mencari peluang bagi menjalinkan pelbagai kerjasama dengan pihak negara Gajah Putih tersebut dalam meningkatkan hab logistik khususnya merangkumi aspek pengangkutan darat.
Terdahulu Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan tambahan Tabung Ibnu Sabil MAIPs bernilai THB24,000 (RM3,000) yang diterima oleh Setiausaha Ketiga Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Nazrul Firzadh Yunus bagi pihak pejabat kedutaan berkenaan.
Ia adalah untuk membantu rakyat Malaysia yang berdepan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.
-- BERNAMA
#Perlis #Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail #Koridor Ekonomi Timur #pengangkutan darat
;