Malaysia ketuai misi kemanusiaan ke Myanmar - Abdul Azeez

Bernama
Januari 7, 2017 10:56 MYT
Malaysia akan mengetuai 14 buah negara dalam misi bantuan kemanusiaan ke Myanmar di bawah KP1M dan Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia. - fotoBERNAMA
Malaysia akan mengetuai 14 buah negara dalam misi bantuan kemanusiaan ke Myanmar di bawah Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia, 31 Jan ini.
Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata misi berkenaan akan melibatkan 245 sukarelawan termasuk 150 orang dari Malaysia.
"Kali ini Malaysia mengetuai misi bantuan kemanusiaan yang kita panggil 'Food Flotilla For Myanmar' yang mana 10 orang sukarelawan dari Turki sudah berada di sini untuk menyertai kita.
"Antara negara lain yang akan turut sama dalam misi ini termasuklah United Kingdom (UK), Belanda, Perancis, Kuwait, Saudi (Arab Saudi), Mesir, Jerman, Thailand, China, Indonesia, Kemboja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Azeez berkata sebanyak 1,500 tan sumbangan berupa makanan, pakaian dan perkakasan akan dibawa bersama untuk diagihkan kepada etnik Rohingya di Myanmar.
"Selain itu kita juga akan bawa 40 orang pakar perubatan, beberapa orang paderi dan juga sami dalam misi ini," kata Abdul Azeez.
Ditanya mengenai pendirian kerajaan Myanmar terhadap misi ini, beliau berkata pihaknya sudah berurusan dengan Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri) dan menulis surat rasmi kepada Presiden Myanmar dengan harapan kedatangan mereka tidak disalah erti oleh mana-mana pihak.
"Kami masih berbincang mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh ... mungkin mereka kata anda boleh datang tetapi anda perlu tinggalkan makanan kepada mereka dan anda boleh balik, tetapi kami tidak akan bersetuju, kami mahu mengagihkannya sendiri," kata beliau,
Beliau berkata misi itu dijangka mengambil masa selama 25 hari.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #KP1M #Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia #Wisma Putra