Malaysia ketuai bantahan sekatan import minyak sawit
Bernama
April 14, 2018 04:55 MYT
April 14, 2018 04:55 MYT
Malaysia diberi penghormatan mengetuai bantahan terhadap larangan import minyak sawit sebagai bahan biofuel yang dikenakan Kesatuan Eropah (EU) menjelang 2021, kata Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Katanya, pihaknya sudah mendapat kelulusan daripada Pakatan Koperasi Antarabangsa (ICA) berhubung permohonan mereka sebelum ini yang meminta supaya menjadi suara membantah sekatan import oleh EU itu.
"Kita diberi penghormatan untuk menulis surat bantahan rasmi kepada EU yang akan dikemukakan kepada ICA hujung bulan ini dan dijangka diserahkan oleh ICA kepada EU dalam masa terdekat.
Bantahan dibuat bukan hanya menguntungkan Malaysia, malahan negara lain dalam ICA seperti di Asia, Amerika, Eropah dan Afrika yang menjadi ahli.
"Kita berharap, dengan bantahan ini, sekurang-kurangnya EU dapat melihat satu gerakan dalam kalangan gerakan koperasi sedunia yang besar untuk dipertimbangkan," katanya kepada pemberita pada Persidangan ANGKASA Kedah 2018 di sini, pada Sabtu.
Pada April tahun lepas, Parlimen Eropah dalam satu resolusi tidak terikat mengatakan hanya minyak sawit yang lestari alam sekitar boleh diimport oleh EU selepas 2020
Abdul Fattah berkata, sekatan oleh EU akan memberi kesan buruk kepada Malaysia apabila kira-kira 700,000 pekebun kecil yang berada di bawah koperasi di Tanah Rancangan FELDA dan Felcra Berhad terjejas.
Katanya, setakat ini, Malaysia menyumbang kira-kira 35 peratus produk berasaskan minyak sawit dunia selain Indonesia, Thailand dan Afrika yang juga pengeluar produk sawit terbesar setakat ini.
-- BERNAMA
#Abdul Fattah Abdullah
#Angkasa
#Angkatan Koperasi Kebangsaan
#biofuel
#EU
#ICA
#import
#Kesatuan Eropah
#Malaysia
#minyak sawit
#Pakatan Koperasi Antarabangsa
#parlimen eropah
#resolusi
#sekatan import
#surat bantahan