Malaysia kemuka tiga elemen perangi COVID-19 bersama negara ASEAN

Hilmi Malik
April 9, 2020 15:50 MYT
Malaysia kemuka tiga elemen perangi COVID19 dengan kerjasama ASEAN
Malaysia mencadangkan tiga elemen utama dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19 merangkumi kepantasan bertindak, solidariti dan memperluaskan skala bantuan kecemasan di kalangan negara ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia telah mula melaksanakan garis panduan bagi menyediakan bantuan kecemasan terhadap rakan negara ASEAN yang terlibat dengan COVID-19.
“Sebagai contoh, Brunei mengambil langkah membantu bawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir dan begitu juga dengan kita (Malaysia) yang telah membantu membawa pulang rakyat Singapura dan Indonesia yang terkandas di Iran dan Nepal”, katanya ketika Mesyuarat Khas Majlis Koordinasi ASEAN berkenaan COVID-19 pada Khamis.
Dalam pada itu, Hishammuddin turut menegaskan kepantasan memerangi penyebaran berita palsu di media sosial juga penting, terutama dalam situasi orang ramai lebih banyak berada di rumah akibat perintah sekatan pergerakan.
Katanya, Malaysia merupakan antara negara yang bersetuju untuk memanfaatkaan Tabung Khas ASEAN COVID-19 seperti yang dicadangkan oleh Thailand agar skala bantuan kecemasan berkenaan diperluas.
“Kita perlu manfaatkan penggunaan dana tersebut melibatkan keperluan kecemasan seperti penutup hidung dan mulut, peralatan perlindungan diri (PPE) dan juga kit ujian.
“Kita sedar isu kekurangan bekalan keperluan tersebut dihadapi di peringkat global, bagaimanapun kita perlu bersiap sedia bagi berdepan sebarang kemungkinan (kekurangan bekalan)”, katanya lagi.
Justeru, tegasnya adalah penting solidariti setiap anggota ASEAN untuk saling berkongsi tindakan yang dilakukan dalam mewujudkan formula sinergi serantau sekali gus mengangkat keunikan setiap anggota dalam usaha memerangi wabak COVID-19.
“Hakikatnya 600 juta orang bergantung kepada kita (negara ASEAN) dan sememangnya ini merupakan tanggungjawab yang berat untuk dipikul, tetapi saya percaya dengan sokongan padu semua pihak kita mampu memerangi COVID-19”, katanya.
#ASEAN #Hishammuddin Hussein #koronavirus #Malaysia #menteri #Wisma Putra
;