Malaysia kemuka ekstradisi, bawa pulang penyeludup senjata api - TPM Zahid
Astro Awani
Disember 28, 2017 16:14 MYT
Disember 28, 2017 16:14 MYT
Kerajaan Malaysia telah memohon kepada Kerajaan Pakistan bagi mengekstradisi suspek penyeludupan senjata api yang ditahan di negara itu untuk dibawa pulang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya akan memohon Bantuan Perundangan Bersama (MLA) antara Malaysia dan Pakistan bagi mempercepatkan proses berkenaan.
Menurutnya, permohonan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan di negara ini.
"Interpol (polis antarabangsa) dan Polis Pakistan secara rasminya sudah memaklumkan penahanan suspek berkenaan, malah sedia memberi kerjasama kepada kita untuk memohon ekstradisi ke atas lelaki itu.
"Kita mahu memastikan suspek dibawa pulang, seterusnya disiasat dan didakwa mengikut undang-undang negara ini," katanya selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Tebedu, di sini hari ini.
Ahmad Zahid diiringi Ketua Menteri Datuk Abang Johari Abang Openg, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Jantan dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
Dalam kejadian 22 Disember lalu, seorang pemuda warga Malaysia berasal dari Kuching, Sarawak ditahan ketika mendaftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi untuk menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur melalui Bangkok menggunakan penerbangan Thai Airways.
#Ahmad Zahid Hamidi
#ekstradisi
#Imigresen
#Interpol
#Pakistan
#seludup
#seludup senjata api
#senjata api
#suspek
#Timbalan Perdana Menteri
#undang-undang