Malaysia, Kemboja tingkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor

Bernama
Mac 27, 2023 16:35 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Sen sempena lawatan rasmi sehari beliau ke Kemboja. - Foto BERNAMA
PHNOM PENH: Malaysia dan Kemboja berharap dapat tingkatkan kerjasama dalam sektor pelaburan, industri halal, teknologi digital, pendidikan dan pertahanan, bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu berkenaan telah dibincangkan dan menjadi antara keutamaan yang dibangkitkan semasa mesyuarat dua hala yang diadakan di Istana Keamanan di sini, hari ini.
"Perbincangan adalah sangat terperinci dan menyeluruh... menyentuh isu-isu perdagangan dan pelaburan yang menjadi keutamaan kami dalam hubungan dua hala, selain beberapa isu lain yang menjadi perhatian," katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Sen sempena lawatan rasmi sehari beliau ke Kemboja.
Terdahulu, Anwar dan Hun Sen menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Kemboja.
MoU berkenaan berkaitan Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang pekerja Kemboja dalam sektor domestik serta Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang pekerja Kemboja di sektor formal bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam sektor buruh.
[TERKINI] Kenyataan bersama Perdana Menteri Malaysia dan Kemboja
Mengenai industri halal, perdana menteri berkata Malaysia sudah menerajui sektor berkenaan dan ia akan memberi peluang kepada kedua-dua Malaysia dan Kemboja untuk menggunakan kemudahan itu bagi menggalakkan dan memudahkan eksport ke negara Islam, khususnya di Timur Tengah.
Anwar juga menyentuh mengenai kejayaan pengeluaran beras di Kemboja dan beliau akan menggalakkan syarikat beras Malaysia dalam memenuhi keperluan import beras agar dapat mempertimbangkan pilihan mengimport beras dan kacang gajus dari Indocina.
"Perdana menteri (Kemboja) menyebut tentang kejayaan pengeluaran beras, yang patut dipuji walaupun anda kata ada lebihan... saya tahu sebenarnya pengeluaran beras bukan sesuatu yang mudah tetapi anda berjaya meningkatkan produktiviti," katanya.
Kedua-dua negara menurut Anwar, turut bersetuju untuk menggunakan buluh yang terdapat di Kemboja bagi menarik pelabur dalam memproses dan mengeksportnya.
"Anda (Hun Sen) telah menyebut isu keperluan untuk meneruskan latihan selain daripada urusan kerajaan-ke-kerajaan seperti pertahanan dan kepakaran teknikal dan pentadbiran.
"Mengenai teknologi digital dan pendidikan, sudah tentu kita akan dapat bekerjasama, sebaik sahaja jawatankuasa bersama bersidang, mudah-mudahan menjelang akhir tahun. Saya rasa giliran Malaysia menjadi tuan rumah selepas beberapa tahun berlalu," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Kemboja #Hun Sen #lawatan rasmi
;