Malaysia, Kemboja lancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan - BNM

Bernama
September 19, 2024 18:10 MYT
BNM dan NBC melancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan di antara Kemboja dengan Malaysia. -Bernama
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dan National Bank of Cambodia (NBC) melancarkan jalinan pembayaran QR (respons pantas) rentas sempadan antara Kemboja dengan Malaysia.

Ringkasan AI
  • BNM dan NBC melancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Kemboja dan Malaysia, membolehkan pengguna dan peniaga membuat dan menerima pembayaran secara masa nyata.
  • Inisiatif ini dilaksanakan dalam dua fasa: Fasa pertama membolehkan pengguna Kemboja membuat pembayaran di Malaysia, manakala fasa kedua membolehkan pengguna Malaysia membuat pembayaran di Kemboja.
  • Inisiatif ini akan merangsang perdagangan, pelancongan, dan pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara, serta menyokong integrasi kewangan serantau ASEAN.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata, menerusi jalinan ini, pengguna dan peniaga di kedua-dua negara boleh membuat dan menerima pembayaran rentas sempadan melalui kod QR secara masa nyata.
Menurut bank pusat, inisiatif ini akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan fasa pertama membolehkan pengguna dari Kemboja membuat pembayaran runcit secara segera di Malaysia dengan mengimbas kod QR DuitNow yang dipaparkan oleh peniaga menggunakan aplikasi mudah alih mereka.
"Kejayaan pelancaran ini direalisasikan melalui kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan kedua-dua negara termasuk NBC, Payments Network Malaysia Sdn Bhd, Maybank sebagai bank penaja dan penyelesaian serta institusi kewangan peserta daripada kedua-dua negara," katanya.
BNM berkata, pada fasa seterusnya, pengguna Malaysia yang mengunjungi Kemboja juga akan boleh membayar pembelian mereka secara lancar kepada peniaga Kemboja dengan mengimbas KhmerQR (KHQR) menggunakan aplikasi mudah alih daripada institusi kewangan peserta.
"Inisiatif jalinan pembayaran QR ini akan membolehkan lebih lima juta peniaga di Kemboja dan Malaysia, terutama peniaga kecil, untuk mengakses jumlah pelanggan yang lebih luas daripada kedua-dua negara," kata kenyataan itu.
Menurut bank pusat, inisiatif ini akan merangsang aktiviti perdagangan, menggiatkan pelancongan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi di Malaysia dan Kemboja.
"Pencapaian ini juga mencerminkan visi kolektif ASEAN serta matlamat inisiatif Rangkaian Pembayaran Serantau untuk integrasi kewangan serantau yang lebih besar dan pembangunan ekonomi yang inklusif," katanya.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata inisiatif ini bukan sahaja akan menyokong agenda ekonomi digital yang lebih meluas, malah merangsang kegiatan ekonomi di seluruh rantau dengan memanfaatkan kemudahan dan kecekapan pembayaran QR.
"Kami kekal komited untuk mendorong integrasi ekonomi dan kewangan yang lebih luas dalam ASEAN, melalui kerjasama erat bersama rakan serantau untuk memajukan perkhidmatan kewangan digital yang selamat dan terjamin," katanya dalam kenyataan sama.
Gabenor NBC Dr Chea Serey pula berkata inisiatif pembayaran rentas sempadan ini akan memainkan peranan penting untuk merangsang aktiviti perdagangan dan memajukan rangkuman kewangan kedua-dua negara.
Beliau berkata ini menandakan langkah penting ke arah merealisasikan visi rangkaian sistem pembayaran runcit ASEAN yang pantas, cekap, selamat dan saling berhubung kait.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #kod QR #Kemboja #National Bank of Cambodia
;