Malaysia kekurangan tekong tempatan untuk kapal nelayan - Mohamad

Bernama
Julai 15, 2024 23:52 MYT
MOHAMAD: LKIM perlu berusaha melahirkan lebih ramai tekong negara pada masa akan datang, dan bayaran untuk tekong ini selalunya gaji lebih lumayan. - Gambar fail
SANDAKAN: Malaysia berhadapan kekurangan tekong tempatan berpengalaman yang ketara untuk kapal nelayan tempatan, terutama bagi perikanan laut dalam, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata lebih ramai tekong tempatan perlu dilahirkan, kerana pada ketika ini orang luar terpaksa digunakan dan diberi peluang untuk berkhidmat sebagai tekong kapal nelayan tempatan di negara ini.
"Kita kekurangan tekong yang ketara, terutama untuk laut dalam, sebab kalau tekong ini berhenti serentak kita hadapi masalah kekurangan ikan di Malaysia. Sebab itu saya sebut Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) perlu ambil serius perkara ini.
"Ini supaya nelayan berpotensi terus dihantar, dilatih di institut, kerana tekong sekarang banyak guna khidmat orang luar," katanya kepada pemberita selepas program ramah mesra Madani Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, bersama Nelayan Sandakan di sini hari ini.
Mohamad berkata khidmat tekong nelayan ketika ini terpaksa dilanjutkan kepada usia lebih 60 tahun, kerana kemahiran serta pengalaman mereka masih diperlukan.
"LKIM perlu berusaha melahirkan lebih ramai tekong negara pada masa akan datang, bayaran untuk tekong ini selalunya gaji lebih lumayan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata pihaknya sentiasa melakukan libat urus bersama anak muda nelayan dalam kumpulan belia nelayan dan menggalakkan mereka menyertai pusat latihan perikanan di bawah Jabatan Perikanan.
"Tetapi kebanyakan belia nelayan mereka terikat dengan kaedah tangkapan ikan tradisional dan kita mahu memodenkan nelayan dan apabila mereka lebih minat mendapat latihan di pusat marin ini, seterusnya menjadi tekong vesel besar, sekali gus negara tidak perlu lagi bergantung kepada tekong luar.
"Tekong bukan setakat kemahiran mengendalikan vesel tetapi juga perlu pengalaman mencari lubuk lubuk ikan," katanya.
Muhammad Faiz berkata LKIM juga sedang merintis satu kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu, melibatkan penggunaan teknologi baharu bagi memperkasa industri perikanan antaranya penggunaan teknologi dron.
-- BERNAMA
#tekong tempatan #nelayan #perikanan #Mohamad Sabu
;