Malaysia kekal tidak hantar jemaah haji, termasuk visa Furada - Dr Zulkifli

Harits Asyraf Hasnan
Jun 23, 2020 15:10 MYT
Dr Zulkifli berkata pembatalan itu turut terpakai kepada pemegang visa jemputan Arab Saudi atau visa Furada. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak menghantar jemaah haji bagi musim 1441 Hijrah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pembatalan itu turut membabitkan pemegang visa jemputan Arab Saudi atau visa Furada.
Jelasnya, beliau sendiri telah berhubung dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di mana satu kenyataan rasmi berhubung perbincangan tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
"Berkenaan penghantaran jemaah haji, semalam (wakil) daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menelefon saya dan ceritakan hakikat.
"Insya-Allah saya akan buat satu kenyataan di mana dia (Arab Saudi) menghargai Malaysia, atas pandangan kita dan kerjasama yang kita lakukan bersama mereka.
"Jadi tahun ini memang kita tidak akan hantar sama ada jemaah haji atau Furada berdasarkan situasi terkini di Arab Saudi," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.
Beliau sebelum itu menyampaikan bantuan dan melancarkan Aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) yang merupakan inisiatif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam menyantuni golongan yang memerlukan.
Sebelum ini, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) merayu kepada kerajaan untuk memberi kelonggaran kepada individu yang mendapat visa jemputan Arab Saudi atau visa Furada.
Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata pihaknya sedia mematuhi segala garis panduan yang akan ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi dalam memastikan mereka yang mendapat visa Furada dapat menunaikan ibadah tersebut.
#Arab Saudi #Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri #Haji #haji COVID19 #jemaah haji #visa Furada
;