Malaysia kekal hubungan dengan Myanmar - Reezal Merican

Harits Asyraf Hasnan
Mac 13, 2017 12:01 MYT
REEZAL: Cadangan supaya Malaysia menutup kedutaannya di Myanmar hanya akan membantutkan usaha mencari jalan penyelesaian bagi isu tersebut. - Gambar fail
Malaysia kekal komited meneruskan hubungan dua halanya dengan Myanmar bagi memastikan usaha untuk mencari penyelesaian terbaik terhadap krisis yang melanda masyarakat Rohingya tidak terbantut.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, kerajaan juga akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Myanmar bagi menyelesaikan isu tersebut sejajar dengan semangat solidariti ASEAN.
“Malaysia berpegang kepada pendirian untuk terus mengekalkan hubungan dua hala yang sedia ada di samping mengadakan pendampingan dengan Myanmar sejajar dengan semangat solidariti ASEAN agar satu penyelesaian yang lebih tuntas kepada isu Rohingya dapat dicapai bersama dengan Myanmar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Seri Hasan Malek (BN – Kuala Pilah) pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, cadangan supaya Malaysia menutup kedutaannya di Myanmar hanya akan membantutkan usaha mencari jalan penyelesaian bagi isu tersebut.
“Pandangan agar kedutaan Malaysia ditutup sebagai satu bantahan pada pengamatan kerajaan adalah salah satu kemungkinan yang mungkin membantutkan usaha Malaysia untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu Rohingya di Myanmar.
“Penutupan kedutaan ini juga akan menghalang Malaysia untuk mendapat pengesahan berkaitan maklumat yang sahih mengenai isu Rohingya di Myanmar,” katanya.
#ASEAN #Dewan Rakyat #Myanmar #Reezal Merican Naina Merican #Rohingya
;