Malaysia kekal Fasa 1 PKP dalam Pelan Pemulihan Negara - Ismail Sabri

Ridauddin Daud
Jun 27, 2021 19:08 MYT
Menurut Datuk Seri Ismail Sabri, peralihan daripada Fasa Satu ke Fasa Dua akan mengambil kira ketiga-tiga indikator tersebut sebelum diputuskan. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Fasa Satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh di Malaysia dikekalkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga tiga indikator (petunjuk) nilai ambang utama dicapai.
Indikator nilai ambang tersebut ialah purata kes harian COVID19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (I-C-U) pada paras sederhana serta kadar vaksinasi populasi yang menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.
Begitupun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memberitahu tarikh penamatan fasa tersebut.
Menerusi satu kenyataan, beliau berkata peralihan daripada Fasa Satu ke Fasa Dua akan mengambil kira ketiga-tiga indikator tersebut sebelum diputuskan.
Menurut beliau, PPN adalah strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik COVID-19 yang merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.
“Berdasarkan penilaian risiko dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan akan mengekalkan lagi tempoh Fasa 1 di seluruh negara seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum disahkan hari ini.
“Ia mengambil kira situasi semasa ketika ini yang masih belum berjaya untuk beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 apabila graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend mendatar,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, dalam fasa satu PPN, SOP am PKP3.0 masih diguna pakai di mana semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor perlu yang disenaraikan dalam senarai positif dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Astro AWANI pada Ahad melaporkan Fasa Satu kawalan pergerakan kekal dalam PPN sehingga tiga indikator yang digariskan dicapai, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Perdana Menteri, ketiga-tiga indikator itu ialah meliputi jumlah kes harian, tahap sistem kesihatan awam dan kadar vaksinasi.
Jelas Perdana Menteri lagi, fasa pertama ini akan terus dilaksanakan sehingga kerajaan mencapai nilai ambang yang ditetapkan.
#ismail sabri yaakob #PKP #total lockdown #ICU #unit rawatan rapi #Pelan Pemulihan Negara #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #Menteri Kanan #Fasa 1 #Fasa 2 #kes baharu #indikator
;