Malaysia kekal di tangga ketiga di ASEAN bagi jalur lebar talian tetap - SKMM
Bernama
September 17, 2020 21:11 MYT
September 17, 2020 21:11 MYT
Malaysia kekal pada kedudukan ketiga di ASEAN bagi purata kelajuan muat turun jalur lebar talian tetap dengan meningkatkan purata kelajuan kepada 86.82 megabit sesaat (Mbps) pada Julai 2020 berbanding 81.46 Mbps pada bulan sebelumnya.
"Memandangkan ekonomi Malaysia meneruskan tahap pemulihan sehingga Disember 2020, akses Internet kekal penting kerana rakyat Malaysia memerlukan kesalinghubungan yang baik," menurut Surunjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam buletin bulanannya yang dikeluarkan hari ini.
Menurut SKMM, keputusan itu adalah dapatan Indeks Speedtest Global yang turut meletakkan Malaysia pada tangga ke-41 di seluruh dunia, berbanding ke-40 pada Jun 2020.
Menurutnya, kelajuan jalur lebar mudah alih di Malaysia turut mencatat peningkatan ketara dengan purata kelajuan muat turun 24.44 Mpbs dan berada di kedudukan keenam di ASEAN.
Sementara itu, permodalan pasaran sektor pos dan kurier tempatan mencatatkan pertumbuhan yang baik iaitu 41 peratus pada Ogos 2020 berbanding April 2020, dipacu oleh peningkatan permintaan dalam pasaran e-dagang dan dalam talian.
"Pemain industri menyaksikan jumlah kurier yang lebih tinggi berbanding biasa walaupun selepas pelonggaran sekatan pergerakan dan trend ini dijangka berterusan sepanjang tahun ini.
"Pada suku kedua 2020, kunjungan bulanan ke laman web tiga peniaga utama di Malaysia - Shopee, Lazada dan PG Mall meningkat 42 peratus berbanding pada suku pertama," katanya.
Bagaimanapun, ia menambah, permodalan pasaran bagi industri komunikasi dan multimedia merosot 4.2 peratus kepada RM127.34 bilion sehingga akhir Ogos 2020 berbanding RM132.87 bilion pada Julai.