Malaysia kekal dengan dasar tidak iktiraf dua kewarganegaraan - Saifuddin

Bernama
Oktober 11, 2024 16:45 MYT
Saifuddin ketika menghadiri Sesi Libat Urus Dan Ramah Mesra Menteri Dalam Negeri Bersama Dengan Ketua Pengarang Agensi Media di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia kekal dengan dasar tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin berkata sebarang keperluan mengenai pindaan dasar berkenaan akan dibuat sekiranya terdapat keperluan tertentu.
"Buat masa sekarang dasar itu kekal (tidak iktiraf dua kewarganegaraan), kita tidak mahu usik apa-apa lagi.
"Kalau nantinya kita hadapi keadaan berbeza, apakah kita ke arah itu? Kita buat keputusan waktu itu," katanya ketika mengulas sama ada kerajaan sedia menyemak balik dasar tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan.
Beliau berkata demikian dalam sesi libat urus dan ramah mesra bersama ketua pengarang media di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Sementara itu, Saifuddin menyatakan sebanyak 17,400 permohonan kewarganegaraan telah berjaya diselesaikan setakat hari ini (11 Okt), melepasi sasaran ditetapkannya.
"Saya letak satu penanda aras bahawa tahun ini iaitu saya sasarkan keputusan permohonan kewarganegaraan adalah 17,000.
"Hari ini kita telah cecah 17,400, baru bulan Oktober dan saya ada dua bulan lagi... 80 peratus daripadanya (permohonan) adalah membabitkan Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Mengenai isu bajau laut di Sabah, beliau berkata Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah sentiasa mengambil inisiatif tertentu bagi membantu kumpulan itu.
Antara insiatif telah dilaksana adalah membangunkan 100 buah rumah untuk memindahkan mereka serta bantuan pekerjaan dalam pelbagai bidang, antaranya perladangan atau pertukangan.
"Anak mereka yang berada tanpa jagaan misalnya, ditempatkan di rumah jagaan dan Kerajaan Negeri Sabah dan badan bukan kerajaan (NGO) beri mereka pendidikan asas," katanya.
-- BERNAMA
#Saifuddin Nasution #dua kewarganegaraan #tidak iktiraf #permohonan kewarganegaraan
;