Malaysia kecam tindakan tembak pesawat awam - Liow Tiong Lai
Astro Awani
Julai 18, 2014 16:57 MYT
Julai 18, 2014 16:57 MYT
Malaysia mengecam sebarang tindakan menembak jatuh pesawat awam dan menggesa pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Liow berkata, kerajaan merakamkan takziah kepada semua keluarga dan anak kapal pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine malam tadi yang dipercayai ditembak jatuh.
"Kerajaan juga akan berkongsi maklumat siasatan terkini dengan keluarga mereka.
"Jika benar MH17 ditembak tindakan ini dikutuk. Amerika Syarikat dan Ukraine mengutuk keras perbuatan ini," katanya pada sidang media di Hotel Sama-Sama di sini hari ini
Pesawat Boeing 777 milik MAS penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal dilaporkan terhempas.
Kedudukan terakhir penerbangan MH17 itu dikesan berada di ruang udara Ukraine berhampiran sempadan Rusia dan ia dikatakan telah ditembak jatuh.
Kawalan Udara Trafik (ATC) Ukraine telah memaklumkan mereka telah terputus hubungan pada 14:15 (GMT) atau 10.15 malam waktu Malaysia.
Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada 12:15 tengah hari Khamis dan dijangka tiba di KLIA pada 6:10 petang Jumaat, waktu Malaysia.