Malaysia kecam serangan udara Israel, minta rakyat buat persiapan tinggalkan Lubnan

Astro Awani
September 25, 2024 18:50 MYT
Serangan Israel ke atas Lubnan mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang setakat ini - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara oleh rejim Zionis Israel di Lubnan baru-baru ini, yang telah mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata tindakan keganasan itu tidak seharusnya disokong oleh masyarakat antarabangsa kerana ia melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Lubnan.
"Operasi ketenteraan Israel bukan sahaja akan meningkatkan lagi ketegangan di Lubnan dan serantau, tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada negara jiran dan serta masyarakat antarabangsa.
"Tindakan rejim Zionis Israel memperluaskan operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di hadapan mata masyarakat antarabangsa, sama sekali tidak dapat diterima," kata kementerian itu.
Sehubungan itu, Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengambil tindakan segera dan tegas dalam menghentikan serangan kejam yang sedang berlaku di Palestin dan Lubnan bagi melindungi orang awam.
Jelas kementerian itu lagi, masyarakat antarabangsa perlu bertindak secara bersama dengan segera.
"Malaysia menggesa UNSC melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan ini. Pendekatan diplomatik dan komitmen terhadap dialog adalah penting dalam memastikan keamanan yang berkekalan di rantau ini.
"Pengabaian secara terang-terangan terhadap nyawa manusia dan norma antarabangsa ini tidak boleh diterima dan tindakan tegas perlu diambil," tambah Kementerian Luar.
Dalam masa sama, Kementerian Luar turut menggesa semua rakyat Malaysia di Lubnan supaya membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara berkenaan secara sukarela.
Warganegara Malaysia juga, kata kementerian itu diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan di negara itu kembali stabil.
Sekiranya mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Beirut boleh dihubungi di:
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI BEIRUT:
Alamat: Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Republik Lubnan
Nombor telefon: +961 7677 2527, +961 7138 0063
Emel: mwbeirut@kln.gov.my
#Kementerian Luar #Serangan di Lubnan #UNSC
;