Malaysia kecam serangan Israel di Rafah, gesa masyarakat antarabangsa kecam pencerobohan Zionis

Astro Awani
April 23, 2024 11:10 MYT
Ujar Wisma Putra, sebarang serangan di Rafah akan mengakibatkan implikasi yang dahsyat kepada lebih dari 1.5 juta rakyat Palestin yang berada di tempat perlindungan sementara yang sesak di dalam kawasan hanya seluas 64 km persegi. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR : Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang terkini di bandar Rafah, selatan Gaza pada 21 April lalu.
Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin yang tidak bersalah terbunuh termasuk 18 kanak-kanak.
Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan situasi di Rafah amat membimbangkan mengambil kira risiko bencana kemanusiaan yang tinggi.
BACA: Israel serang tempat perlindungan terakhir penduduk Gaza
"Sebarang serangan di Rafah akan mengakibatkan implikasi yang dahsyat kepada lebih dari 1.5 juta rakyat Palestin yang berada di tempat perlindungan sementara yang sesak di dalam kawasan hanya seluas 64 km persegi.
"Pencerobohan Israel akan menyebabkan kehilangan nyawa yang semakin meningkat. Rafah adalah benteng dan tempat perlindungan terakhir bagi rakyat Palestin yang melarikan diri dari utara Gaza sejak 198 hari lalu. Mereka kini tidak mempunyai tempat lain untuk berlindung.
"Kekejaman Israel semakin melampau kerana ia sama sekali tidak menghiraukan garis merah yang ditetapkan sekutunya. Pada bulan lalu, Israel telah diberi amaran oleh negara-negara sekutunya untuk mengelakkan dari menyerang Rafah kerana ia adalah satu kesilapan," katanya.
Justeru itu, Wisma Putra menegaskan masyarakat antarabangsa perlu terus mengecam pencerobohan Israel mendesak pemberhentian permusuhan dengan segera, mengiktiraf dan menegakkan kenegaraan Palestin, dan secara aktif mendapatkan keadilan yang telah dinafikan selama lebih tujuh dekad.
#Wisma Putra #Rafah #Israel #Gaza
;