Malaysia kecam serangan di TAI, minta rakyat Malaysia waspada

Astro Awani
Oktober 23, 2024 07:40 MYT
Kedutaan Besar Malaysia di Ankara sedang memantau rapat perkembangan insiden di ibu pejabat syarikat aeroangkasa dan pertahanan Turkiye, Turkish Aerospace Industries (TAI). - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan di ibu pejabat syarikat aeroangkasa dan pertahanan Turkiye, Turkish Aerospace Industries (TAI).
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara sedang memantau rapat perkembangan insiden itu.
"Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam serangan berkenaan," memetik kenyataan tersebut.
Malaysia pada masa sama merakamkan setinggi-tinggi ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Republik Turkiye dan keluarga mangsa yang terkorban dan berharap supaya mereka yang cedera agar segera sembuh.
Pada Rabu, berlaku letupan dan bunyi tembakan kedengaran di kemudahan Turkish Aerospace Industries di daerah Kahramankazan, 40 kilometer di utara Ankara.
Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya berkata kejadian itu mengakibatkan lima orang maut manakala 14 yang lain mengalami kecederaan.
Dilaporkan bahawa kakitangan firma pertahanan itu diarahkan ke tempat perlindungan atas sebab keselamatan.
Sehubungan itu, Wisma Putra menasihati semua rakyat Malaysia di Turki untuk kekal tenang, waspada dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan/atau Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul melalui butiran berikut:
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI ANKARA
Alamat: Büyükesat, Koza Sk. No:56, 06700 Çankaya/Ankara
No. Telefon: +(90) 312 44635 47/48
+(90) 507 8128406 (selepas waktu pejabat)
Emel: mwankara@kln.gov.my
PEJABAT KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI ISTANBUL
Alamat: Esentepe Mah. Ali Kaya Sok. No:1 Polat Plaza, B Blok, Kat: 8, 34394 Şişli/İstanbul
No. Telefon: +(90) 212 98910 01/09
+(90) 531 7160551 (selepas waktu pejabat)
Emel: mwistanbul@kln.gov.my
#letupan #Turki #Wisma Putra #Turkish Aerospace Industries
;